KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menyerahkan surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada beberapa individu yang didakwa menokok tambah kenyataannya ketika berucap dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan minggu lalu.
Menteri Besar Kedah itu berkata, antara penerima LOD berkenaan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim; pempengaruh media sosial, Salim Abd Rahman; serta beberapa individu lain.
“Kita tuntut tujuh hari untuk mereka memohon maaf, lepas itu dia kena hubungi peguam saya. Jika tidak kita pergi kepada perbicaraan. Siapkan duitlah,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada peguam satu senarai panjang individu yang didakwa memesongkan fakta, menokok tambah serta memutar belit kenyataannya.
Beliau mendakwa tindakan itu dilakukan bagi mengelirukan orang ramai dan mengaut keuntungan dengan memanipulasi kenyataan yang dibuatnya.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi turut mengesahkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan di Alor Setar berhubung kenyataannya pada Ahad lalu.
Menurutnya, proses tersebut tidak memakan masa yang lama dan berjalan lancar.
“Banyak soalan juga, jawab dengan teratur berdasarkan fakta semasa. Keterangan polis mana boleh tokok tambah,” katanya lagi.
Difahamkan, kenyataan kontroversi itu dibuat pada 23 Julai lalu ketika beliau, selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana PN dan Barisan Nasional (BN) di Jempol.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata orang Melayu kini semakin kehilangan penguasaan ekonomi, selain menyifatkan Tanah Melayu sebagai satu-satunya tanah air yang dimiliki oleh orang Melayu berbanding kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
Beliau turut menggesa golongan muda supaya tidak memandang ringan soal politik kerana mendakwa negeri itu berdepan risiko kehilangan identiti sekiranya tiada perubahan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada pemimpin Barisan Nasional (BN), yang bekerjasama dengan PN pada PRN Negeri Sembilan, serta pemimpin Pakatan Harapan (PH).