ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Beliau bagaimanapun memberitahu kesemua 10 Exco kerajaan negeri telah dipanggil SPRM untuk diambil keterangan berkaitan kes berkenaan.

Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil memberi keterangan tidak lama lagi.

“Saya belum lagi (dipanggil SPRM) tetapi semua Exco sudah dipanggil. Saya pun hairan sebab belum pernah lagi setiap seorang Exco dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat Exco.

“Sudah ada Exco telah beri keterangan, ada yang belum lagi. Semua proses itu dilakukan di sini (Alor Setar), hari ni ada, esok pun ada. Saya mungkin selepas itu lah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Darulaman, di sini pada Rabu.

Pada 20 Julai, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua saksi dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu kertas siasatan.

SPRM juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Muhammad Sanusi.

Sehari sebelum itu, SPRM menahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan masing-masing di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara.

Pada Isnin, seorang lagi pegawai kanan Menteri Besar Kedah ditahan anggota penguat kuasa SPRM selepas menahan seorang pembantu kepada pemilik syarikat, menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang.