Skip to main content

Malaysia

SARA catat kadar penggunaan 99 peratus dengan transaksi RM3.45 bilion - MoF

SEREMBAN, 15 Feb -- Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan sempena persiapan awal Ramadan ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Seremban 2 hari ini.  Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kira-kira 8.1 juta penerima telah menebus bantuan SARA Untuk Semua bernilai RM100 secara sekali bayar setakat Jumaat lepas dengan perbelanjaan hampir RM780 juta.  Beliau berkata inisiatif itu mendapat sambutan amat menggalakkan dan membantu meringankan kos sara hidup rakya
SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA bagi pembelian 15 kategori barangan keperluan asas. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus dalam kalangan hampir sembilan juta penerima bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dengan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM3.45 bilion setakat tahun ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), bagi program SARA Untuk Semua pula sekitar 22 juta rakyat telah membuat perbelanjaan iaitu 87 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.

"Satu daripada petunjuk utama keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana adalah berdasarkan prestasi perbelanjaan oleh penerima yang turut memberi kesan gandaan kepada ekonomi tempatan,” menurut MoF dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai petunjuk utama yang digunakan kerajaan bagi menilai keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut MoF, SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad dan boleh digunakan di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA bagi pembelian 15 kategori barangan keperluan asas, termasuk makanan asas, barangan kebersihan diri, barangan kebersihan rumah dan ubat-ubatan.

"Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar memanfaatkan bantuan bagi tujuan dinyatakan," menurut MoF.

MoF turut memaklumkan peruntukan bagi STR dan SARA meningkat kepada RM15 bilion pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta menyediakan bantuan secara lebih bersasar.

Menurut kementerian itu, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program bantuan bagi memastikan ia disalurkan kepada golongan yang memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement