Pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sekiranya didapati tidak menjalankan tugas membersihkan tempat di bawah kawasan seliaannya sehingga menyebabkan wujudnya sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sekiranya mempunyai bukti secukupnya, pihak kementerian akan membawa PBT terbabit ke mahkamah.

"Kita akan kumpulkan segala gambar dan video yang ada. Sekiranya ada cukup bukti, kita akan kenakan tindakan undang-undang terhadap mereka," kata Dr Subramaniam selepas melakukan tinjauan pemantauan lokaliti denggi di Kampung Sungai Kayu Ara di Petaling Jaya.

Hasil pemantauan mendapati beberapa timbunan sampah sarap yang tidak dikutip di kawasan perumahan selain beberapa bekas yang dibuang juga didapati bertakungan dengan air hujan.

"Apa yang saya nampak cukup mengejutkan saya kerana kalau itulah keadaan di peringkat bawah, apa sahaja langkah diambil kerajaan di peringkat atas seperti Kementerian Kesihatan tidak akan berjaya.

"Kita boleh buat fogging tiap-tiap minggu tetapi tidak berjaya memerangi denggi kalau perkara asas seperti pembuangan sampah tidak diatasi," kata Dr Subramaniam.

Difahamkan kebanyakan sampah sarap dilonggokkan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menurut dakwaan penduduk, perbuatan itu dilakukan pada waktu malam.

Beliau rasa kecewa dengan tindakan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) susulan longgokan sampah sarap yang bertimbun di tepi jalan tidak dikutip pihak berkuasa sehingga menimbulkan keadaan kurang menyenangkan penduduk setempat yang juga bimbang dengan risiko ia menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

"Ini contoh PBT sudah gagal dalam tanggungjawab mereka untuk memastikan pungutan dibuat secara baik dan pembersihan dilakukan secara baik," kata Dr Subramaniam.

Jelasnya, perlu ada perubahan sikap bukan sahaja penduduk tetapi PBT dalam memastikan strategi kerajaan menangani kadar peningkatan kes denggi di negara ini.

"Contohnya, kawasan ini adalah di bawah MBPJ jadi mereka kena melihat semula cara mereka buat kerja. Kalau mereka tidak beri keutamaan kepada kebersihan kawasan, cara pungutan sampah dan tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat kesalahan, perkara ini akan berterusan.

"Mereka perlu mengambil serius perkara ini sebab kita menghadapi situasi denggi paling teruk dalam sejarah kita," tegas Dr Subramaniam.

Selangor terus mencatatkan kes demam denggi paling tinggi di negara ini. Sehingga 29 Jun 2015, sebanyak 83 kematian dicatatkan dengan 32,764 kes dilaporkan.

Manakala di kawasan Petaling sahaja, sebanyak 14,841 kes dilaporkan dengan 26 kematian dicatatkan.