BINTULU: Sarawak telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelannya untuk loji metanol kedua di Tanjung Kidurong dengan projek menghasilkan ammonia, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya beliau telah meminta Sarawak Petchem Sdn Bhd untuk mengkaji semula cadangan loji metanol kedua berikutan Sarawak telah mempunyai loji untuk menghasilkannya.

"Loji kedua akan berasaskan ammonia berikutan kita melihat terdapat pasaran untuk ammonia, terutamanya di Eropah, Timur Jauh dan negara-negara ASEAN.

"Oleh itu, saya telah meminta Petchem untuk membina loji di Bintulu. Ini adalah sesuatu yang baharu, ammonia biru.

"Jika anda kira pulangan daripada pelaburan ini, ia dijamin, bergantung kepada cara anda memasarkan produk anda," katanya pada majlis meraikan kesediaan Kemudahan Jualan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) untuk membuat penghantaran gas itu di Tanjung Kidurong di sini hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa industri petrokimia dan tenaga merupakan dua pendekatan penting untuk Sarawak mencapai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

"Saya ingin melihat pertumbuhan kedua-dua sektor ini menyumbang kepada pewujudan pekerjaan di Sarawak, selaras dengan pelan kami untuk menyaksikan tenaga kerja berkembang kepada hampir 195,000 pekerjaan selain merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar Sarawak," katanya.

Dengan akses kepada tenaga yang lebih baik, Sarawak boleh mempercepatkan penggunaan digitalnya, membolehkan kemudahan menjalankan perniagaan yang lebih baik, rakyat yang lebih maju dan mengoptimumkan penggunaan asetnya dengan lebih baik.

Beliau berkata kerjasama antara rantau ini dan Petronas telah berjalan dengan baik di bawah Perjanjian Penyelesaian Komersial dan kedua-dua pihak boleh terus bekerjasama, terutamanya dalam aktiviti hiliran.

Abang Johari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf hasrat Sarawak untuk meneroka teknologi baharu bagi menjana tenaga bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga untuk jirannya.

"Dengan semua bahan mentah asas yang ada, Sarawak mahu menyumbang kepada rantau ini dan menjadi hab ASEAN dari segi tenaga," katanya.

-- BERNAMA