KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching mungkin ditamatkan selepas tiada kes positif COVID-19 direkodkan di negeri itu hari ini, kali pertama sejak lebih sebulan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan kes keseluruhan COVID-19 di Sarawak setakat tengahari Sabtu kekal 1,055 kes.

Kenyataan sama memaklumkan terdapat satu kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini.

“Kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj ini adalah dari Hospital Umum Sarawak.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini meningkat kepada 972 orang atau 92.13% daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Daerah Kuching kekal berstatus merah dengan jumlah keseluruhan  59 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Walaupun masih dalam zon merah, Kuching mempunyai 40 kes aktif atau lebih selain enam kluster aktif.
Daerah Miri dan Lawas pula kekal berstatus kuning sementara 37 daerah lagi kekal berada dalam status hijau

JPBNS dijadual  membuat pengumuman khas pada Ahad sejurus mesyuarat harian yang bakal dipengerusikan Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Semalam James selaku pemangku Pengerusi JPBNS memaklumkan mesyuarat akan mengambil kira situasi semasa kes positif COVID-19 di daerah itu sebelum memutuskan sama ada PKPB di Kuching dilanjutkan atau sebaliknya.

Pada 7 November lepas, JPBN Sarawak mengumumkan PKPB di Kuching selama 14 hari bermula 9 hingga 22 November 2020.

Baca: Keputusan lanjutan PKPB di Kuching ditentukan Ahad ini - Masing