KUCHING: Empat kluster baharu diisytiharkan di Sarawak masing-masing satu di daerah Meradong, Sri Aman, Miri dan Bintulu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, daripada empat kluster baharu yang dikesan itu, satu daripadanya berpunca daripada aktiviti sambutan Hari Gawai baru-baru ini.

"Kluster Skim B Meradong, Sarikei melibatkan sebuah rumah panjang di Skim B dan berpunca dari aktiviti gotong-royong pada 27 Mei lalu.

"Jawatankuasa pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu mendedahkan daripada 78 individu yang disaring, 28 kes disahkan positif termasuk kes indeks. 45 yang lain negatif dan lima kes masih menunggu keputusan makmal," dedah JKNS menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Sementara itu, Kluster Ijus Pengelayan, Miri, pula dilaporkan berpunca daripada aktiviti Gawai Antu yang berlangsung pada 15 Mei lalu di kawasan rumah panjang di Kejaman, Baram Marudi.

“Kluster komuniti ini dikesan melibatkan sebuah syarikat perkapalan di Kuala Baram dan telah merebak ke sebuah rumah panjang tersebut.

"Sejumlah 163 individu l telah disaring yang mana 55 kes positif telah dikesan termasuk kes indeks. Sejumlah 100 kes telah didapati negatif, mankala lapan kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Selain itu, kluster lain yang dilaporkan hari ini ialah Kluster Banting, Sri Aman yang dikesan melibatkan lima buah rumah panjang di Banting dan sebuah rumah panjang di Kerepok berpunca dari aktiviti sembahyang 40 hari yang diadakan pada 22 Mei lalu.

JPBN Sarawak mengesahkan aktitiviti berkenaan turut dihadiri oleh beberapa orang penduduk di rumah panjang berdekatan di kawasan Lingga, Sri Aman.

Dalam ujian saringan yang dijalankan, sejumlah 262 individu telah disaring yang mana 59 daripadanya dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks.

"155 kes lain didapati negatif dan 48 kes masih menunggu keputusan makmal,” tambahnya.

Kluster keempat yang turut diisytiharkan termasuk Kluster Jalan Kampung Yoh, Sebauh melibatkan sebuah syarikat pembinaan yang membekalkan konkrit yang terletak di tapak kerja di simpang Jalan Kampung Yoh, Batu 38, Jalan Bintulu-Miri, Sebauh.

Jelas kenyataan itu lagi,  wabak daripada kluster berkenaan merebak melalui kontak sosial dalam kalangan pekerja di tapak binaan tersebut.

“Sejumlah 83 individu telah disaring yang mana 58 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 13 kes didapati negatif dan 12 kes masih menunggu keputusan makmal," beritahunya menerusi kenyataan sama.

Kesemua kes positif COVID-19 melibatkan keempat-empat kluster ini ini telah dirujuk ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) berisiko rendah yang terdekat  bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Terbaharu, Sarawak mencatatkan 651 kes COVID-19 dan 331 daripada jumlah tersebut dikesan di Kuching, Sibu, Sebauh dan Miri sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes keseluruhan di negeri itu kepada 50,751.

Manakala, dua kematian baharu dilaporkan melibatkan warga emas perempuan berusia 62 dan 65 tahun. Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 318 orang.