KUCHING: Kerajaan negeri komited dalam mencapai matlamat ke arah penggunaan ekonomi digital, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata usaha yang dilakukan hari ini akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat pada masa ini dan generasi akan datang serta dunia secara keseluruhannya.

"Saya memberi jaminan bahawa kita (Kerajaan Sarawak) komited untuk merealisasikan masa depan yang makmur, inklusif dan mampan.

"Kita percaya masa depan digital adalah maju ke hadapan serta hasrat Sarawak adalah untuk menjadi peneraju ekonomi dan masyarakat digital menjelang 2030," katanya berucap pada Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2023 di sini hari ini.

Abang Johari berkata menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat, perancangan rapi serta penumpuan terhadap sistem penyampaian, Sarawak akan melahirkan masyarakat yang maju dipacu inovasi dan teknologi.

"Sebagai contoh, saya bangga untuk mengatakan bahawa Sarawak Energy Berhad (syarikat utiliti milik kerajaan negeri) terus menjana tenaga dan pada masa ini merupakan pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia," katanya.

Abang Johari berkata Sarawak sedang menyusun semula ekonomi berdasarkan kekuatan yang meliputi lokasi strategik di kawasan yang berkembang pesat.

Dari segi ekonomi, beliau berkata Sarawak mengekalkan lebihan dagangan sejak beberapa tahun daripada rakan dagang utama di Asia dan Eropah.

"Kita berhasrat untuk melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 8 peratus untuk mencapai RM282 bilion pada 2030 daripada empat peratus pada 2019 dan meningkatkan purata pendapatan bulanan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM15,000 sebulan menerusi pelan pembangunan kita menjelang 2030," katanya.

-- BERNAMA