KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM200 juta bagi pembinaan sebuah Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti dan memutuskan lokasi pusat penyelidikan itu yang berhampiran dengan Institut Jantung Negara, Samarahan.

Katanya, pembinaan pusat penyelidikan itu juga dikendali dan dipersetujui majlis penyelidikan yang terdiri daripada pakar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan dijangka siap tahun 2024.

"Pusat penyelidikan ini penting untuk kita. Kita tidak tahu apa lagi penyakit berjangkit akan menyerang negara dan negeri ini.

"Sehubungan itu, kita harus memiliki pusat penyelidikan dan bekerjasama dari segi interaksi dengan badan dunia bagi sama-sama mengenal pasti sekali gus mengambil pendekatan awal berkaitan virus lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UNIMAS di Kota Samarahan pada Rabu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tambah Abang Johari, pusat penyelidikan bertaraf dunia dan canggih itu akan disertai Pengerusi Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG), Prof Datu Dr Andrew Kiyu Dawie dan beberapa pakar dari UNIMAS.

Selain itu, jelas Abang Johari, proses tender pembinaan sedang dijalankan dan pihaknya juga sudah mengenal pasti badan kesihatan dunia yang dijangka menjalin kerjasama dengan pusat penyelidikan itu.

"Kita sudah kenal pasti agensi kesihatan dunia dari segi kerjasama dan penyelidikan... tetapi saya tidak boleh dedahkan lagi kerana belum ada kata putus atau perjanjian," katanya.