KUCHING: Sarawak mampu menjadi kuasa ekonomi digital yang mempunyai infrastruktur dan utiliti yang baik, menikmati pendapatan tinggi dengan sokongan padu rakyat dan kecekapan perkhidmatan awam negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tidak mustahil untuk mencapai matlamat itu jika semua orang memberi tumpuan untuk merealisasikan apa yang telah dirancang dan penjawat awam negeri bekerja keras untuk memastikan semua projek yang telah dilancarkan dapat disiapkan atau tidak tertangguh demi kepentingan rakyat.

"Sekarang pandemik ini telah reda, tidak ada sebab projek yang tertangguh tidak disiapkan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2022.

Susulan prestasi memberangsangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri bulan lepas, khususnya di bahagian Sibu, beliau berkata Bukit Assek, satu daripada kawasan utama di bahagian itu akan dibangunkan secara rancak untuk menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) diberi tanggungjawab untuk menerajui tugas merombak kawasan rendah, kawasan yang ditenggelami air di Bukit Assek seluas 202.343 hektar menjadi bandar moden.

Walaupun ia bukan satu tugas yang mudah dan sudah pasti akan mengambil masa lebih sedekad untuk direalisasikan, Abang Johari berkata dengan kehendak politik yang kuat, ia boleh dilaksanakan untuk kepentingan rakyat Sibu dan Sarawak secara keseluruhan.

Beliau berkata kawasan bandar perlu terus dibangunkan walaupun pembangunan sebelum ini telah dilaksanakan memandangkan keperluan penambahbaikan dan pemodenan kemudahan seperti dalam sistem pengangkutan awam dan ke arah mewujudkan bandar pintar.

Walaupun sambutan Tahun Baharu Cina ini masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard seperti sejak 2020, beliau berharap Tahun Harimau akan menyuntik semangat semua lapisan masyarakat untuk terus berusaha ke arah mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

"Untuk sambutan TBC tahun ini, kita tidak boleh berkunjung seperti biasa, tetapi ini tidak menghalang kita untuk terus mengukuhkan silaturahim dan semangat saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA