KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memohon untuk dibekalkan dengan lebih 600,000 vaksin jenis CanSino dari China bagi mempercepatkan program vaksinasi di negeri itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bekalan tersebut akan membolehkan suntikan diberikan kepada penduduk di pedalaman.

Ujarnya, vaksin CanSino hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja, maka pihak pengurusan tidak perlu berkali-kali ke kawasan pedalaman.

“Kunjungan saya kepada Menteri Penyelaras Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin membincangkan bagaimana caranya kita dapat mempercepatkan proses vaksinasi terutama mereka yang berada jauh di pedalaman.

“Walaupun kita berhadapan dengan masalah bekalan vaksin, tetapi kita lega kerana Malaysia akan mendapat bekalan vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos (suntikan) sahaja dan kita telah memohon sejumlah 600,000 ke 800,000 vaksin ini untuk dibekalkan kepada Sarawak,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Khamis.

Tambah beliau, setakat ini  66 peratus daripada 2.2 juta rakyat Sarawak telah mendaftar bagi program vaksinasi yang dibuat menerusi aplikasi MySejahtera dan secara manual di pejabat-pejabat daerah.

Seramai 67,300 rakyat Sarawak telah menerima dos pertama vaksin dan 32,728 orang pula telah menerima dos kedua setakat ini.

Fasa kedua program imunisasi di negeri itu akan bermula 19 April ini di bahagian Sibu melibatkan golongan rentan, warga emas dan mereka yang telah menerima notis pemberitahuan melalui MySejahtera secara berperingkat.