Parlimen harus perkukuh RUU Anti Lompat Parti untuk elak khianat mandat rakyat - Ronald Kiandee

Ronald Kiandee berpendapat, langkah tersebut penting demi menjamin kestabilan politik yang berteraskan prinsip, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Parlimen harus meneliti, meminda dan memperkukuhkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti agar dapat mengekang langkah pengkhianatan mandat rakyat, kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee.
Ringkasan AI
- Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, menyeru Parlimen untuk memperkukuhkan RUU Anti Lompat Parti bagi mengatasi pengkhianatan mandat rakyat dan mengekalkan kestabilan politik yang berprinsip dan akauntabiliti.
- Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Bersatu terhadap bekas ahli yang melompat parti menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan undang-undang anti-lompat parti.
- Panel tiga hakim berpendapat kuasa perlembagaan Speaker tidak boleh diganggu oleh mahkamah kecuali jika disalahgunakan, dan tafsiran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perlu dipertimbangkan bagi kepentingan umum yang signifikan.
“Sekiranya Parlimen tidak bersedia atau tidak berani untuk memperbetulkan kelemahan yang ketara ini, maka lebih baik undang-undang tersebut dimansuhkan sahaja,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Ronald menyatakan pendapat tersebut susulan penghakiman 2–1 Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Bersatu terhadap empat orang bekas ahli Bersatu yang melompat parti.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan akan menghormati keputusan tersebut namun berpendapat ia menafikan semangat dan hasrat sebenar undang-undang anti-lompat parti
“Keputusan tersebut secara jelas menafikan semangat dan hasrat sebenar undang-undang anti-lompat parti, sekali gus menjadikannya tidak berkesan dari segi pelaksanaan,” katanya.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. Hakim Nallini dan Sequerah membentuk majoriti, manakala Hakim Azizah menyampaikan penghakiman berbeza.
Hakim Nallini berkata kes berkenaan melibatkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable) dimana Mahkamah perlu menghormati doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen
Justeru Nalini berpendapat untuk tidak campur tangan dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, kecuali jika disalahgunakan.
Tambahnya dalam kes Bersatu, Speaker telah melaksanakan kuasanya di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kuasa itu bukan bersifat pentadbiran semata-mata, sambil menegaskan bahawa Speaker bukan sekadar 'rubber stamp'.
Hakim Azizah pula berkata Perkara 49A merupakan undang-undang anti-lompat parti yang digubal untuk menghalang ahli Parlimen menukar sokongan politik selepas dipilih dan memastikan mereka kekal bersama parti yang diwakili ketika pilihan raya.
Beliau menambah permohonan Bersatu memenuhi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana membangkitkan persoalan baharu berkaitan tafsiran Perkara 49A yang melibatkan kepentingan umum signifikan.
Pada 17 April 2023, Ronald dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, yang juga pegawai awam parti itu, memfailkan permohonan semakan kehakiman.
Permohonan tersebut menamakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, serta empat Ahli Parlimen terbabit sebagai responden, iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Bersatu memohon perintah untuk membatalkan keputusan Johari menerusi surat bertarikh 16 Januari 2023 yang menyatakan keempat-empat Ahli Parlimen itu telah memberikan penjelasan dan mengesahkan tiada kekosongan kerusi, berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Perlembagaan Bersatu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


