Sarawak perhebat latihan TVET, fokus teknologi digital dan pertanian moden

Abang Johari berkata, Sarawak menekankan keperluan mengubah struktur ekonomi dengan memoden serta meningkatkan kecekapan selain mempertingkat pendapatan isi rumah, dan pada masa sama melindungi alam sekitar. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Sarawak terus giat memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di negeri itu melalui rangkaian pusat latihan teknikal di samping memperluas kerjasama dengan pelbagai industri strategik.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu merangkumi bidang tenaga, kejuruteraan, teknologi digital, keterjaminan makanan dan pertanian moden selaras dengan aspirasi negeri untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam pasaran global.
"Pada masa sama, kerajaan turut berbangga dengan inisiatif antaranya pusat latihan teknikal Sarawak Skills yang telah menerapkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.
"Langkah itu dianggap sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik teknologi maklumat dan mampu bersaing dalam era teknologi canggih masa kini," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-27 di sini hari ini.
Beliau juga berkata bagi menangani jurang dalam ekosistem ekonomi, Sarawak menekankan keperluan mengubah struktur ekonomi dengan memoden serta meningkatkan kecekapan selain mempertingkat pendapatan isi rumah, dan pada masa sama melindungi alam sekitar.
"Kerajaan negeri turut melaksanakan dasar ke arah pemeliharaan alam sekitar dengan beralih kepada tenaga hijau yang sifar karbon dan kita juga sangat aktif dalam pembangunan teknologi hijau serta sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui sekali gus menjadi peneraju dalam pembangunan ekosistem selain penjana hidrogen hijau di Malaysia," katanya.
Abang Johari berkata Sarawak juga komited membangunkan ekonomi secara lebih lestari berpandukan teknologi ekonomi hijau, dengan Sarawak Skills akan memperbanyak program Ekonomi Hijau bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang itu.
Beliau berkata justeru, pelajar yang bergraduasi hari ini juga bukan sekadar menerima segulung ijazah tetapi memikul amanah untuk membina masa depan Sarawak.
Majlis itu turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Skills dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bagi perkongsian pengetahuan melalui penyertaan aktif dalam pelbagai platform yang memberi manfaat bersama seperti seminar, persidangan, bengkel dan program libat urus komuniti.
Menerusi MoU itu, Sarawak Skills dan Perodua akan menjalin kerjasama dalam pembangunan tenaga kerja termasuk pelaksanaan program latihan industri.
Sementara itu, Naib Pengerusi Majlis Pengurusan Sarawak Skills Norazibah M Rabu dalam ucapannya berkata seramai 631 graduan menerima sijil dan diploma kemahiran masing-masing yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan mereka di bawah program TVET anjuran Sarawak Skills.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


