KUALA LUMPUR: Sarawak mengorak langkah dengan mengangkat kedudukannya sebagai peneraju pelancongan bertanggungjawab dan destinasi utama ekopelancongan serta destinasi tumpuan acara perniagaan di Asia Tenggara.

Langkah tersebut dilakukan menerusi pengukuhan hubungan antara Industri Pelancongan Sarawak dengan United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) pada rundingan dua hala yang berlangsung di Ibu Pejabat UNWTO di Madrid, Sepanyol, hari ini.

Mengetuai delegasi ke Madrid, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata harapan Sarawak agar hubungan kukuh dengan UNWTO dapat membawa manfaat kepada industri pelancongan Sarawak, ke arah menjadi destinasi lestari yang terkenal.

Selain itu, ujarnya Sarawak juga mensasarkan Pentauliahan Indeks Kelestarian Destinasi Global (Global Destination Sustainable Index).

"Untuk mengekalkan keseimbangan sumber aslinya, Sarawak juga akan memulakan inisiatif ekonomi biru yang lestari dengan mengambil pendekatan holistik bagi merealisasikan ekonomi berasaskan Kelestarian Lautan.”

"Acara ikonik Sarawak, iaitu Rainforest World Music Festival (RWMF) dan Borneo Jazz Festival telah melaksanakan inisiatif pelancongan bertanggungjawab seperti Program EcoGreenPlanet, di mana sebahagian hasil jualan tiket dalam talian telah disalurkan kepada aktiviti penanaman semula pokok.

"Aspirasi Sarawak untuk menanam 35 juta pokok bertujuan menyumbang ke arah sasaran Malaysia menanam 100 juta pokok di bawah Program Penghutanan Semula negara, dalam usaha menangani perubahan iklim global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Karim berkata Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar (Sustainable Environment Blueprint) Sarawak, merangkumi kedua-dua Ekonomi Hijau dan Biru untuk memastikan landskap yang kukuh dalam aspek kelestarian serta  perlindungan alam sekitar, di mana jalinan di antara  keperluan industri dan alam sekitar dapat diseimbangkan.

Pada mesyuarat berkenaan, UNWTO turut mengesyorkan agar Sarawak terlibat dalam inisiatif utama mereka termasuk ‘INSTO, One Planet initiatives, Best Tourism Village and the World Tourism Barometer’, yang bakal menjadi  pemangkin kepada usaha Sarawak ke arah pembangunan lestari.

Selain itu, UNWTO mengesyorkan agar Sarawak menyertai Perhimpunan Agung UNWTO Sesi ke-25 pada 2024 dan CAP-CSA ke-35 di Kemboja pada Jun ini.