Kerajaan negeri Sarawak menganjurkan program 'Jum Regista Bisnes' sebagai usaha menggalakkan usahawan luar bandar mendaftarkan perniagaan.

Inisiatif ini bagi membolehkan senarai nama golongan ini tidak tercicir daripada menerima bantuan daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, inisiatif ini juga bagi memastikan usahawan yang terjejas akibat COVID-19 dapat memulihkan semula perniagaan mereka.

"Program ini turut menawarkan pakej bantuan khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jadi nasihat saya kepada semua usahawan baik yang berniaga di pasar tamu dan kawasan-kawasan lain untuk mendapatkan lesen dan permit perniagaan.

“Dengan adanya lesen dan permit ini, mudah untuk kita (kerajaan negeri) menyalurkan bantuan bagi mengurangkan beban anda,” kata Awang Tengah.

Beliau berkata, selain itu pusat inkubator dan Anjung Usahawan juga diwujudkan khusus bagi membantu menyelesaikan isu peniaga yang tidak memiliki premis perniagaan untuk didaftarkan.

“Kita telah berusaha untuk mewujudkan lebih banyak pusat inkubator dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) juga sudah membangunkan fasiliti ini di beberapa kawasan.

“Perbincangan untuk mewujudkan lebih banyak Anjung Usahawan juga dilakukan dan penubuhan fasiliti-fasiliti ini penting dalam memudahkan urusan pendaftaran pemohon sekiranya mereka tidak memiliki alamat premis perniagaan yang perlu didaftarkan,” tambahnya.

Selain itu Awang Tengah juga menggesa agensi kerajaan yang diamanahkan bagi urusan pendaftaran perniagaan untuk membolehkan pemberian lesen disegerakan.

Ia termasuk memberi keputusan permohonan sama ada diluluskan atau sebaliknya berserta sebab untuk memudahkan urusan pemohon.