KUCHING: Industri teknologi penghasilan cip di Sarawak akan ditingkatkan dengan kerjasama pemain industri dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) di peringkat global.

Kerajaan negeri telah memerterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama syarikat pembekal penyelesaian semikonduktor mikro-elektronik dunia, Melexis Technology berpusat di Tessenderlo, Belgium pada Selasa.

MoU yang ditandatangani antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) itu disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang tiba di Belgium untuk lawatan kerja selama seminggu di Eropah dan United Kingdom (UK).

Skop MoU berkenaan melibatkan kerjasama rekaan (IC) dan pembangunan bakat separa-konduktor sebagai sebagian daripada program inovasi serta pembangunan bakat di Sarawak.

Abang Johari dalam ucapannya berkata kerjasama itu akan menjadikan Sarawak sebagai salah sebuah pusat utama pembangunan reka bentuk cip pasaran global pada masa akan datang.

“Transisi kepada penggunaan reka bentuk cip akan memenuhi keperluan baharu pasaran sejajar dengan peralihan tenaga, perubahan iklim, dan pemansuhan penggunaan enjin pembakaran secara berperingkat bagi kenderaan.

“Sarawak terutamanya Kuching akan menuju ke arah sistem pengangkutan Transit Aliran Automasi (ART) dijana oleh tenaga hidrogen, maka penyelidikan dan pembangunan ini akan menjadi keutamaan kepada sistem pengangkutan awam yang baharu,” katanya.

Untuk rekod, Melexies Technology adalah sebahagian daripada syarikat terlibat menerusi teknologi faundri cip XFab sedia ada di Zon Perindustrian Bebas Samajaya yang menghasilkan cip untuk kegunaan pelbagai aplikasi, termasuk kenderaan.

Syarikat ini juga memberikan keutamaan kepada produk separa konduktor untuk industri automotif selain beberapa pasaran teknologi tenaga antaranya alternatif mobiliti, perkakas dan bangunan pintar, pengurusan tenaga boleh diperbaharui serta kesihatan digital.