Pada September ini, Sarawak mungkin mengetahui sama ada ia boleh ditangkap dan dieksport secara terkawal, buaya muara yang membiak dengan pesat dan lebih kerap menyerang manusia kebelakangan ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini berkata keputusan itu akan diketahui lapan bulan lagi apabila Persidangan Pihak-pihak yang menyertai Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) dijadualkan bermesyuarat di Afrika Selatan.

Malaysia, melalui perwakilan dari Sarawak, meminta CITES menyenaraikan buaya muara di Sarawak ke dalam Lampiran II CITES, yang membenarkan buaya di Sarawak ditangkap dan dieksport secara terkawal.

Katanya, buaya muara bukan sahaja haiwan yang dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Tempatan 1998, tetapi juga mendapat perlindungan antarabangsa di bawah CITES.

Awang Tengah berkata sekiranya Persidangan CITES di Afrika Selatan itu bersetuju dengan permohonan Sarawak, maka buaya di negeri ini bolehlah ditangkap dan dieksport secara terkawal.

Awang Tengah berkata tidak banyak orang tempatan yang suka makan daging buaya atau menggunakan produk kulit daripadanya, terutama kerana mematuhi pantang larang.

Oleh itu, penyenaraiannya dalam Lampiran II CITES akan membantu kerajaan negeri, bukan sahaja dalam mengurangkan jumlah pemakan manusia itu, tetapi juga dapat menjana pendapatan bagi negeri ini melalui eksport buaya, katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan serangan buaya yang sering berlaku di beberapa sungai di negeri ini, orang ramai mencadangkan agar pihak berkuasa mengeluarkan reptilia itu daripada senarai spesies haiwan yang dilindungi.

Awang Tengah berkata sebenarnya, penakaian buaya di kawasan berkaitan pelancongan sudah menjadi amalan sejak beberapa tahun lepas.

Sepuluh kes - tujuh orang mati dan tiga cedera - dilaporkan pada 2013, manakala tujuh kes - tiga orang maut dan empat cedera - dilaporkan pada 2014, katanya.

"Jumlah kes meningkat kepada 12 tahun lepas, dengan lapan maut dan empat orang terselamat, tetapi cedera," katanya.

Beliau berkata, tahun ini, seekor buaya telah membunuh remaja lelaki berusia 15 tahun, Raziman Razali, berhampiran Kampung Santubong.

Awang Tengah berkata berikutan peningkatan populasi buaya dan bahaya/risiko yang dibawa reptilia ganas ini, kerajaan negeri mengisytiharkan kawasan awam atau rekreasi seperti tebingan di beberapa bandar besar di seluruh negeri ini dan pantai di Pasir Pandak, Pasir Panjang dan Santubong, yang sering dikunjungi pelawat, sebagai zon bebas buaya mulai tahun lepas.

Katanya sebarang buaya yang dijumpai di kawasan itu akan dipindahkan atau dibunuh, sama ada oleh pihak berkuasa atau orang awam.

"Bagaimanapun, setiap buaya yang dibunuh orang awam, perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan," katanya.