Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menyokong langkah Kerajaan Persekutuan untuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri yang diumum oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.

Walaubagaimanapun, pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya masih menunggu pemberitahuan secara rasmi dikeluarkan sebelum jawatankuasa itu mengambil tindakan lanjut.

“Kami belum terima maklumat rasmi mengenai perkara ini tetapi kami benar-benar menyokong dasar itu," katanya pada sidang media harian COVID-19 pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Uggah menjelaskan, jawatankuasa itu memahami akan keperluan anak Sarawak untuk kembali ke tanah air atas sebab-sebab tertentu.

“Kita diberitahu terdapat 3,742 orang Sarawak yang sudah menempah tiket untuk terbang ke Kuching.

“Kita sentiasa menyambut kepulangan mereka tetapi mereka harus mematuhi syarat kuarantin seperti yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Uggah turut mengumumkan daerah Lundu telah bertukar status kepada zon hijau setelah tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari berturut.

Ini menjadikan jumlah zon kuning setakat hari ini sebanyak empat buah dan daerah berstatus hijau sebanyak 36 buah secara keseluruhan.