KUCHING:Perkataan Sarawakian tidak boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Sarawak kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Itu penjelasan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkenaan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Artikel 16 Perlembagaan Sarawak bagi kelayakan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.

“Kita tidak boleh memasukkan perkataan Sarawakian kerana itu akan melanggar Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

"Pada masa anda meletakkan Sarawakian, itu bermaksud ia akan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Jelas Abdul Karim lagi di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya perkataan penduduk (resident) digunakan dan bukannya Sarawakian. Justeru, atas semangat Persekutuan, Sarawak turut menggunakan perkataan penduduk.

Tambah Abdul Karim lagi, pihaknya telah membincangkan dengan teliti dan melihatnya dari semua sudut sebelum membentangkan RUU tersebut.

Terdahulu dalam sesi perbahasan, ADUN pembangkang Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) mempersoalkan mengapa  perkataan Sarawakian tidak digunakan sebagai definisi 'penduduk negeri'.

“Mengapa kita tidak menjelaskan dalam pindaan kita pada artikel ini bahawa kita menggunakan perkataan Sarawakian dan bukannya menggunakan tempat kelahiran sebagai rujukan untuk menentukan kelayakan seseorang untuk dipilih ke DUN ini?” soalnya.

RUU berkenaan telah diluluskan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar setelah lebih dua pertiga ADUN menyokong selepas bacaan kali ketiga.

Baca: Pindaan RUU Artikel 16 Perlembagaan Sarawak diluluskan