Skip to main content

Malaysia

SARI@KRT sasar bantu 1,400 pemandiri bangkit semula

SARI@KRT TB
Datuk Seri Nancy Shukri berucap pada Majlis Pelancaran Program SARI@KRT 2026 di ibu negara pada Khamis. - Gambar KPWKM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 1,400 pemandiri keganasan rumah tangga disasar menerima sokongan pemulihan, perlindungan dan pemerkasaan menerusi Program Santun Kasih Pemandiri terhadap Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif baharu itu dirangka bagi membantu pemandiri membina semula keyakinan serta meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang lebih selamat, bermaruah dan berdikari.

“Program ini dilaksanakan di seluruh negara dengan sasaran 1,400 peserta, iaitu 100 orang bagi setiap negeri.

“Bantuan yang disediakan bukan hanya berkaitan keganasan yang dialami, tetapi turut merangkumi sokongan kepada wanita yang berusaha mendapatkan nafkah untuk anak, termasuk bantuan kewangan dan elaun bagi urusan ke mahkamah,” katanya dalam sidang media majlis pelancaran SARI@KRT 2026 pada Khamis.

Program itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN), dengan bentuk bantuan dan rujukan disesuaikan mengikut keperluan setiap peserta.

Pengisiannya merangkumi sesi advokasi, perkongsian maklumat mengenai hak dan saluran perlindungan, sokongan psikososial K-Chat serta rujukan kepada perkhidmatan berkaitan.

K-Chat merupakan intervensi psikologi secara berkumpulan bersama kaunselor dan fasilitator terlatih yang menyediakan ruang selamat kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, mengurus emosi serta membina semula daya tahan diri.

Image
SARI@KRT INSERT
Datuk Seri Nancy Shukri pada gimik pelancaran SARI@KRT 2026 di ibu negara pada Khamis. - Gambar KPWKM

Nancy berkata, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan pemandiri bukan sahaja mengetahui hak mereka, malah mempunyai keyakinan untuk mengambil tindakan dan mendapatkan bantuan.

“Kita melaksanakan pelbagai pendekatan untuk membantu mereka memperoleh semula keyakinan dalam menghadapi apa yang dilalui dan memahami tindakan yang boleh diambil.

“Yang penting, wanita yang menjadi mangsa dapat kembali yakin dan meneruskan kehidupan melalui usaha yang kita sediakan,” ujarnya.

Pelaksanaan SARI@KRT turut melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bantuan Guaman, agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan sokongan kepada pemandiri diselaraskan dengan lebih menyeluruh.

Menurut data PDRM, sebanyak 4,014 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara setakat Jun 2026.

Keganasan rumah tangga bukan sahaja berlaku dalam bentuk fizikal, malah turut merangkumi penderaan emosi dan seksual serta bentuk lebih baharu seperti keganasan kewangan dan digital.

Image
SARI@KRT INSERT
SARI@KRT merupakan fasa susulan kepada Program Aku Wanita@KRT yang telah menyantuni lebih 3,600 peserta, manakala 230 pemandiri menerima manfaat menerusi sesi K-Chat sehingga 7 Ogos lalu.

Program bertemakan “Road to Eliminate Violence Against Women" (EVAW) itu akan digerakkan di seluruh negara menerusi pertandingan video pendek, poster interaktif, program bersama siswa serta aktiviti promosi masyarakat.

Kempen berkenaan akan menuju kemuncak Sambutan EVAW pada 25 November, bersempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita, sebelum diteruskan menerusi Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender sehingga 10 Disember.

Individu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam atau mendapatkan bantuan melalui pejabat JKM, balai polis serta Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital kerajaan.

Must Watch Video

Advertisement