Skip to main content

Malaysia

Saringan anemia percuma kanak-kanak, berpeluang dapat saguhati RM150

saringan kesihatan/ pix myskala
Selain saringan kesihatan, pelbagai aktiviti mesra keluarga turut disediakan, termasuk mini zoo oleh BrotherHood Reptiles, persembahan badut, Supa Doopa, serta agihan aiskrim, makanan, minuman dan cenderamata kepada peserta. - Gambar MySKALA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ibu bapa di Lembah Klang digesa membawa anak berusia tujuh hingga 11 tahun menjalani saringan anemia percuma menerusi Program Saringan Anemia dan Pencegahan Denggi pada 6 dan 16 September ini.

Pengerusi MySKALA merangkap Penasihat Program, Fazrul Nizam Osman berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan pengesanan awal anemia selain meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan denggi dalam kalangan keluarga dan komuniti.

Jelasnya, program anjuran NGO MySKALA itu berlangsung di Dewan Dahlia, Seksyen 24, Shah Alam pada 6 September dan Dewan Residensi TNB, Kelana Jaya pada 16 September, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

"Kanak-kanak yang hadir bersama ibu atau bapa dan melengkapkan saringan berpeluang menerima saguhati RM150, tertakluk kepada syarat dan terma ditetapkan. Peserta turut menerima laporan makmal serta cadangan berkaitan pemakanan dan gaya hidup berdasarkan keputusan saringan.

"Anemia kadangkala tidak disedari kerana kanak-kanak yang mengalaminya mungkin kelihatan sihat dan aktif tanpa menunjukkan gejala ketara.

“Paras hemoglobin yang rendah boleh menjejaskan keupayaan darah membawa oksigen ke seluruh badan dan dalam keadaan tertentu memerlukan perhatian serta tindakan susulan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu jelas Fazrul Nizam, program itu turut memberi penekanan kepada pencegahan denggi yang masih menjadi ancaman kepada masyarakat.

"Berdasarkan rekod portal rasmi iDengue pada 3 September lalu, sebanyak 339 kes denggi baharu direkodkan di seluruh negara, termasuk 124 kes di Selangor.

"Denggi teruk boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pendarahan dan sindrom kejutan denggi yang berpotensi mengancam nyawa," ujarnya.

Program berkenaan mendapat kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PELITAWANIS TNB, MPP Zon 8 Shah Alam dan MPP Zon 21 Kelana Jaya.

Selain saringan kesihatan, pelbagai aktiviti mesra keluarga turut disediakan, termasuk mini zoo oleh BrotherHood Reptiles, persembahan badut, Supa Doopa, serta agihan aiskrim, makanan, minuman dan cenderamata kepada peserta.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi kod QR yang disediakan atau secara walk-in di lokasi program.
 

Must Watch Video

Advertisement