KOTA KINABALU:Peningkatan kes positif COVID-19 yang tinggi setiap hari di Sabah adalah disebabkan hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di 11 kawasan jangkitan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, 11 kawasan jangkitan itu meliputi daerah zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar dan Kota Belud.

Justeru, beliau meminta rakyat Sabah supaya tidak panik dan kekal tenang susulan peningkatkan kes positif COVID-19 setiap hari di negeri itu.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini pada Sabtu adalah sebanyak 451 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 6,737.

"Manakala empat kematian dilaporkan hari ini selain 2,596 pesakit dilaporkan sembuh dan 4,086 masih menerima rawatan.

"Sesungguh laporan harian ini agak tinggi, rakyat diminta tidak panik dan kekal tenang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II menambah, beliau akan mengadakan sidang media setiap hari bermula esok bagi memberi status terkini penularan COVID 19 di Sabah.

Mengulas mengenai bantuan makanan, beliau berkata, sebanyak 42,580 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

Kenyataan media harian COVID-19 oleh Datuk Seri Masidi Manjun.
Kenyataan media harian COVID-19 oleh Datuk Seri Masidi Manjun.