Skip to main content

Malaysia

Saringan tibi bersasar lebih efektif berbanding saringan wajib – Pakar

61770729104_TBTibi.jpg
Pendekatan saringan tibi secara bersasar berkesan kerana sumber perubatan digunakan secara tepat kepada mereka paling berisiko tanpa mencetuskan ketakutan. - Gambar hiasan

SHAH ALAM: Pendekatan saringan tuberculosis atau tibi secara bersasar dan sistematik lebih berkesan berbanding pelaksanaan saringan wajib menyeluruh dalam menangani peningkatan kes pada masa kini.

Ketua Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah di Universiti Monash Malaysia Brigedier Jeneral Profesor Dr Mohd Arshil Moideen (B) berkata pendekatan itu berkesan kerana sumber perubatan digunakan secara tepat kepada mereka paling berisiko tanpa mencetuskan ketakutan yang boleh menyebabkan pesakit menyembunyikan diri.

Advertisement

Beliau berkata Konsensus Kesihatan Awam 2026 tidak menyokong saringan wajib secara menyeluruh untuk semua rakyat sebaliknya pendekatan bersasar di lokasi dan populasi berisiko tinggi seperti perokok tegar dan pesakit diabetes kerana lebih praktikal serta berkesan. 

“Kumpulan seperti perokok dan pesakit diabetes mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi untuk mendapat tibi aktif kerana sistem imun yang lemah.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesyorkan saringan dalam populasi dengan kadar kepadatan penyakit melebihi 0.5 peratus tetapi saringan wajib hanya benar-benar berkesan jika terdapat jaminan rawatan dan keselamatan pekerjaan bagi mengelakkan penularan tersembunyi akibat ketakutan pesakit untuk tampil ke hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata kerajaan negeri komited memperkukuh program saringan dan rawatan tibi secara berfokus dan inklusif bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

“Kerjasama semua pihak termasuk majikan dan komuniti amat penting dalam memastikan pendekatan saringan bersasar dapat dilaksanakan secara efektif, sekali gus membendung penularan tibi dalam suasana terkawal dan selamat. 

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) telah mengambil langkah menyeluruh termasuk pengesanan kes secara aktif di lokaliti terlibat, pengasingan dan rawatan pesakit di fasiliti kesihatan serta pemantauan pematuhan rawatan sehingga tamat tempoh,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata golongan berisiko seperti perokok, penghidap diabetes dan buah pinggang kronik perlu lebih peka dengan ancaman tibi susulan 503 kes baharu direkodkan pada Minggu Epidemiologi kelima bagi seluruh negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video