GERGASI teknologi Google telah mengeluarkan kemas kini keselamatan segera bagi pelayar Chrome bagi menangani kerentanan zero-day berisiko tinggi yang dikesan sedang aktif dieksploitasi oleh penggodam.
Menurut laporan media antarabangsa, kelemahan keselamatan yang dikesan sebagai CVE-2026-2441 itu merupakan pepijat memori jenis use-after-free dalam komponen CSS pelayar tersebut.
Advertisement
Ia merupakan kerentanan zero-day pertama yang ditampal oleh Google bagi tahun 2026.
Kerentanan ini diberikan skor tahap keterukan 8.8 daripada 10, mencerminkan risiko besar yang dihadapi oleh pengguna di seluruh dunia.
Jika berjaya dieksploitasi, ia membolehkan penyerang jarak jauh melaksanakan kod berniat jahat atau menyebabkan pelayar terhenti secara tiba-tiba (crash) melalui halaman web yang telah diubah suai.
Google mengesahkan bahawa eksploitasi bagi kerentanan ini sudah pun wujud "di luar sana" (in the wild), sekali gus mendorong syarikat itu untuk mempercepatkan proses pengeluaran tampalan keselamatan berkenaan.
Kemas kini tersebut telah mula dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna platform Windows, macOS, dan Linux.
Versi terkini yang mengandungi tampalan ini adalah 145.0.7632.75/76 bagi Windows dan Mac, serta 145.0.7632.75 bagi Linux.
Pengguna dinasihatkan untuk mengemas kini pelayar Chrome mereka dengan segera melalui menu 'About Google Chrome' bagi memastikan peranti mereka dilindungi daripada sebarang serangan siber yang memanfaatkan kelemahan tersebut.