Sarjan polis terima rasuah kekal dipenjara 14 bulan, didenda RM10,000

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuantan yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM10,000 terhadap tertuduh, Mohd Ridhuan Kasah, 45. - Foto SPRM
KUANTAN: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap seorang anggota polis berpangkat sarjan yang didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM2,000, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuantan yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM10,000 terhadap tertuduh, Mohd Ridhuan Kasah, 45, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang.
Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Bagi tuduhan pertama, pada 18 September 2020 kira-kira pukul 5 petang, tertuduh memperoleh RM1,000 daripada Syed Mohd Firdaus Syed Hussin melalui serahan tangan di bilik pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pekan.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu.
Tuduhan kedua pula menyatakan bahawa pada 19 September 2020 kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Pekan Station 2, Pekan, tertuduh menerima lagi RM1,000 daripada individu yang sama bagi tujuan serupa.
Pada 10 Mac 2022, Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM10,000 terhadap tertuduh.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Namun, dalam keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi menolak rayuan dan mengekalkan sabitan serta hukuman bagi pertuduhan kedua sebagaimana diputuskan Mahkamah Sesyen.
Tertuduh tidak dibenarkan membuat rayuan lanjut dan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dr Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohamad Hamizey Mat Taib dan Halimaton Saadiah Abu Samah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


