MELAKA: Kerajaan yakin mampu melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 menerusi peluasan akses institusi pengajian tinggi teknikal, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta integrasi ilmu al-Quran dengan bidang profesional dan teknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu merupakan kesinambungan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi membangunkan generasi huffaz yang bukan sahaja mahir dalam hafazan al-Quran, malah berkeupayaan menyumbang dalam pelbagai sektor strategik negara.
Beliau berkata kira-kira 12,500 huffaz profesional dilahirkan setakat ini, manakala mulai 2027 hingga 2050, peluang melanjutkan pengajian akan diperluas kepada pelajar tahfiz dan sekolah pondok di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta enam Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Kita yakin dengan penghantaran pelajar tahfiz dan pelajar sekolah pondok yang menghafaz al-Quran ke UniKL dan enam MTUN, kita boleh mencapai sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Huffaz melibatkan 42 pelajar Imtiaz Masjid Tanah dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di sini hari ini.
Beliau berkata laluan pendidikan tinggi teknikal dan profesional yang lebih tersusun akan membolehkan golongan huffaz memperoleh kemahiran khusus dan kelayakan profesional, sekali gus memenuhi keperluan tenaga kerja negara pada masa depan.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara dalam ucapan pada majlis itu berkata pelajar tahfiz perlu mempunyai laluan pendidikan yang jelas daripada peringkat awal persekolahan sehingga institusi pengajian tinggi, TVET dan kerjaya profesional supaya mereka dapat memilih bidang berdasarkan minat, kebolehan dan potensi masing-masing.
“Kita tidak mahu anak-anak tahfiz merasakan bahawa mereka hanya mempunyai satu laluan dalam kehidupan. Sebaliknya, penguasaan al-Quran boleh menjadi asas untuk mereka menceburi pelbagai bidang mengikut minat dan kebolehan masing-masing,” katanya.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi program TVET Tahfiz dan Tahfiz TVET melalui institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), GIATMARA, UniKL serta kerjasama industri bagi memperluas peluang latihan dan pekerjaan.
Beliau berkata generasi tahfiz juga perlu meneroka bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, ekonomi digital dan teknologi tinggi, bukan sekadar menjadi pengguna, malah mampu mencipta teknologi serta menghasilkan penyelesaian kepada pelbagai masalah.
“Kita tidak mahu generasi tahfiz hanya menjadi pengguna teknologi yang dicipta oleh orang lain, tetapi turut menjadi pencipta, berani mencuba, meneroka dan menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata pendidikan tahfiz perlu melangkaui hafazan al-Quran dengan menyediakan peluang kepada pelajar mengembangkan potensi dalam bidang akademik, teknikal, kepimpinan dan kerjaya profesional, tanpa mengabaikan jati diri serta nilai agama.
Ahmad Zahid turut menyuarakan aspirasi untuk melihat Malaysia suatu hari nanti dipimpin oleh Perdana Menteri dalam kalangan al-Hafiz atau al-Hafizah yang memiliki ilmu, integriti dan keupayaan mentadbir negara.
-- BERNAMA