MALAYSIA
Satu das, seekor gugur! Penembak gagak kongsi hobi 'mahal'

Pauzul (kanan) bersama rakannya menyertai operasi tembak gagak di Ampang Jaya, Selangor pada 9 Ogos. - Gambar Astro AWANI
AMPANG JAYA: Dentuman senjata api menggemparkan warga kota, bukan kegiatan jenayah, sebaliknya operasi mengawal populasi gagak bagi mengembalikan keseimbangan alam setelah pelbagai onar dilemparkan burung perosak ini.
Antara individu terhandal, Pauzul Kamil Ramli, 51 tahun, aktif sejak tahun 2007 dengan rekod terbaik peribadi dipegang - 350 ekor burung gagak dijatuhkan dalam satu penyertaan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam.
Bagi Pauzul, aktiviti menembak gagak bukan sekadar hobi, sebaliknya tanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat.


Pauzul cekap mengendalikan senjata api miliknya untuk memburu burung gagak di ruang udara.
Kemahiran diperlukan merupakan kejituan, ketajaman mata ini diperoleh menerusi pengalaman bertahun-tahun lamanya.
"Maknanya kita tembak straight, bila burung tu terbang laju, kita kena ambil sekaki depan burung tu baru kita tembak. Kalau tidak, terlepas memang rugi,” katanya.
Beliau menggunakan senapang semi-automatik Benelli M-2 berkapasiti lapan peluru yang mampu melepaskan tembakan bertubi-tubi sebelum diisi semula.
Peluru penabur halus digunakan mengandungi kira-kira 200 bebola keluli kecil, mampu mencecah ketinggian 50 meter, namun tidak memudaratkan manusia atau merosakkan harta benda ketika jatuh ke bumi.

Setiap tembakan dilepaskan menelan perbelanjaan, ia harus tepat mengenai sasaran bagi menjamin pulangan hasil.
Ganjaran ditawarkan pihak berkuasa tempatan turut menjadi tarikan kepada penembak.
"Dulu masa saya mula, majlis bayar RM3 seekor. Sekarang mereka bayar RM7 sehingga RM8 untuk satu bangkai burung gagak.
"Namun hobi saya ceburi ini tidaklah begitu menguntungkan, satu kotak peluru sekarang pun RM70. Tak termasuk kos pengangkutan, penginapan, penyelenggaraan senjata api dan sebagainya," ujar Pauzul.
Setiap operasi biasanya dianjurkan dua kali setahun di sesebuah mukim dan memerlukan kelulusan polis serta pemantauan pihak berkuasa tempatan selain operasi bermula awal pagi ketika gagak keluar dan berakhir selepas maghrib apabila ia kembali ke sarang.

Kepuasan dirasai Pauzul apabila melihat habuan yang diraih.
“Keselamatan jadi keutamaan. Kawasan rumah ibadat misalnya, kita perlu berada sekurang-kurangnya 100 meter jauh. Radius tembakan pula hanya ke atas, kita tidak boleh tembak ke bawah kerana berisiko,” jelasnya.
Walaupun ada pihak mencadangkan kaedah lebih berperikemanusiaan, Pauzul berpendapat operasi menembak langkah paling berkesan kerana gagak merupakan burung bijak yang mampu mengenal pasti perangkap.
“Macam saya sendiri ada sediakan helah unik untuk memperdaya burung gagak. Saya guna pembesar suara yang ada bunyi gagak untuk memanggil mereka. Burung akan datang, berkumpul dan ketika itu lebih mudah kita tembak,” katanya.
Aktiviti ini menjadi persaingan sihat dalam komuniti penembak dari seluruh negara, namun bagi Pauzul, matlamat utamanya jelas, membantu pihak berkuasa tempatan mengawal populasi gagak dan memastikan ketenangan masyarakat bandar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami