Satu lagi lapisan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan di negara ini bagi memastikan proses keadilan dilaksanakan dengan baik sekali gus memperkukuh bidang kuasa institusi perundangan Islam itu pada masa depan.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata setakat ini mahkamah dalam sistem kehakiman syariah mempunyai tiga lapisan iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

"Perak merupakan negeri pertama mewujudkan satu lagi peringkat iaitu Mahkamah Utama Syariah, mahkamah teratas selepas Mahkamah Rayuan Syariah dan ini perlu bagi memastikan kes dan masalah yang berlaku di peringkat Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah dapat diselesaikan secara adil.

"Pada masa ini, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah, hak rayuan hanya sekali sahaja sebelum ke Mahkamah Rayuan Syariah sedangkan kebanyakan kes yang difailkan di mahkamah ini lebih berat dan tuntutan lebih banyak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka di Kompleks Mahkamah Syariah pada Rabu.

Majlis pentauliahan kepada 77 peguam syarie termasuk enam pentauliahan khas itu dirasmikan Ketua Menteri Adly Zahari.

Pada 5 Dis tahun lepas, Perak menjadi negeri pertama mempunyai empat lapisan mahkamah syariah setelah persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 negeri itu meluluskan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Perak Ke-14 pada 6 Ogos tahun lalu, menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan dalam sistem Mahkamah Syariah di Perak.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga dinasihatkan tidak menggunakan platform media sosial untuk meluahkan masalah termasuk mengaibkan pasangan masing-masing kerana ia memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga perlu merujuk kepada pihak ketiga seperti kaunselor profesional di Jabatan Agama Islam atau individu yang boleh dipercayai bagi membantu menyelamatkan perkahwinan mereka.

Dalam pada itu, Adly berkata sebanyak 1,979 kes penceraian didaftarkan di Melaka pada tahun ini dalam tempoh Jan hingga semalam dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,459 kes telah diselesaikan.

Katanya kes tuntutan penceraian antara tertinggi direkodkan dengan jumlah sebanyak 989 kes diikuti tuntutan pengesahan lafaz cerai (654 kes), tuntutan fasakh (310 kes), tuntutan pengesahan cerai taklik (21 kes) dan tuntutan khuluk atau tebus talaq (lima kes).

Menurut beliau sehingga kini, Melaka mempunyai 463 peguam syarie dan secara purata kira-kira 4,500 kes penceraian didaftarkan setiap tahun.

-- BERNAMA