KULAI: Sebuah lagi "projek sakit" di Taman Saujana Jaya, di sini berjaya diselesaikan selepas 110 pembeli menerima kunci rumah mereka hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata projek perumahan bagi golongan M40 itu, yang dibangunkan pemaju Glomac Bhd dan sepatutnya siap pada Jun tahun lepas, akhirnya berjaya diselesaikan pada Julai lepas.

"Kerajaan negeri dan agensi berkaitan telah berbincang dengan pemaju dan akhirnya kita dapat selesaikan projek ini selepas kita selesaikan isu teknikal seperti jalan dan air, sebelum ini.

"Sudah tentu ia berlaku antaranya kesan daripada COVID-19 yang memberi impak besar kepada pemaju termasuk dari segi peningkatan harga kos bahan binaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Taman Saujana Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan terdapat enam daripada 33 projek sakit yang dikenal pasti di Johor, berjaya diselesaikan setakat Julai lepas sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, penerima kunci P. Yogeswari, 53, yang menyewa sebuah rumah di Taman Mutiara, di sini, berkata tidak sabar untuk menduduki rumah baharunya itu.

"Bayar sewa rumah sahaja RM700 sebulan dan pada masa sama perlu bayar RM1,000 untuk rumah di Taman Saujana Jaya ini, yang sudah tentu membebankan.

"Saya bersyukur kerana akhirnya dapat juga duduk di rumah baharu ini dengan anak-anak," kata suri rumah tiga anak itu.

Salleh Omar, 62, turut meluahkan rasa syukur kerana projek yang dinantikan itu akhirnya berjaya disiapkan.

"Saya dan keluarga tinggal di Taman Manis dan difahamkan rumah di Taman Saujana Jaya ini terbengkalai disebabkan COVID-19 apabila semua pekerja warga asing pulang ke negara asal.

"Bagaimanapun, kami bersyukur akhirnya ia berjaya disiapkan dengan usaha semua pihak terutama kerajaan negeri," kata bapa lima anak itu.

-- BERNAMA