MELAKA: Banjir kilat yang melanda Alor Gajah selepas hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), dibuka bagi menempatkan 51 mangsa setakat 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata mangsa terlibat terdiri daripada 13 keluarga dari sembilan kampung di daerah itu, ditempatkan di Balai Raya Balik Balai yang dibuka pada 9 malam semalam.

Beliau berkata kampung terlibat ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Kampung Taboh Naning, Pelan Lubok China, Kampung Sungai Jernih, Taman Masjid Tanah Ria, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal dan Kampung Brisu.

Di SELANGOR, dua PPS dibuka hari ini susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Sungai Buloh dan Subang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak dan PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields menempatkan 374 mangsa daripada 88 keluarga.

Beliau berkata satu pos kawalan hadapan bomba turut dibuka di PPS SK Merbau Sempak.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ditugaskan dalam operasi banjir membabitkan kawasan Jalan Jati di Kampung Melayu Subang, BBP Rawang serta BBP Sungai Buloh di Kampung Kubu Gajah manakala BBP Bestari Jaya di Kampung Sri Aman dan Taman Saujana Aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Di NEGERI SEMBILAN, satu PPS dibuka di Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson awal pagi tadi susulan kejadian banjir kilat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan PPS itu dibuka pada 4.08 pagi dengan menempatkan 46 orang daripada dua keluarga.

“Beberapa stesen sungai turut merekodkan bacaan pada paras berjaga-jaga dan bahaya setakat 7 pagi tadi iaitu di Sungai Linggi dan Sungai Triang di Jelebu,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA