TEHRAN: Kementerian Luar Iran mengecam keras serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu, sambil menegaskan tindakan berkenaan telah menyebabkan perjanjian gencatan senjata menjadi tidak lagi bermakna.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, kementerian itu menyifatkan serangan udara oleh tentera AS sebagai tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan bersifat jenayah.
“Serangan menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah oleh Amerika Syarikat dalam beberapa jam kebelakangan ini bukan sahaja mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip asas undang-undang antarabangsa mengenai kedaulatan dan integriti wilayah, malah telah memusnahkan fungsi perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani pada 8 April 2026,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memberi amaran bahawa Iran akan bertindak memusnahkan punca dan sumber serangan agresif terhadap negara tersebut.
Ia juga menegaskan bahawa sebarang kesan atau tindak balas geopolitik susulan daripada tindakan itu adalah di bawah tanggungjawab penuh pentadbiran Washington.
“Tanggungjawab terhadap kesan yang amat serius akibat tindakan ini terletak sepenuhnya di bahu para pemimpin Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, Iran menyeru negara anggota PBB untuk bertindak terhadap pencabulan tersebut.
Kementerian berkenaan turut memberi amaran bahawa sikap berdiam diri dan ketiadaan tindakan dalam menghadapi pelanggaran undang-undang hanya akan mendorong dunia ke arah ketidakstabilan.
Kenyataan itu dibuat selepas White House menuduh Tehran terlibat dalam insiden melibatkan helikopter tentera AS, yang kemudiannya disusuli siri serangan udara ke atas beberapa infrastruktur di selatan Iran.