BAHANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada 9 Mei ini semakin dirasai.

Tinjauan rambang Bernama mendapati kebanyakan belia yang baru pertama kali layak mengundi pada musim PRU ini, tidak mahu melepaskan peluang menjalankan tanggungjawab mereka.

PERCAYA 'KUASA' SATU UNDI

Begitu teruja untuk mengundi buat kali pertama, Cheah Huai En, 26, pekerja bahagian pentadbiran dari Puchong berkata, setiap rakyat yang layak mengundi berhak memilih sebuah kerajaan yang stabil untuk menerajui negara ini.

"Saya percaya malah dengan satu undi boleh membawa perubahan kerana setiap undi itu meningkatkan mandat kerajaan yang dipilih," katanya dan menambah beliau berharap kerajaan yang dipilih akan berusaha menangani kenaikan harga hartanah.

Muhammad Khair Zawawi, 23, juga percaya satu undi boleh membawa perubahan dan sangat penting dalam menentukan masa hadapan negara.

"Ada sedikit rasa tak sabar (untuk mengundi). Walaupun ada juga timbul perasaan ragu-ragu tentang pilihan calon yang layak untuk diundi," katanya kepada Bernama.

Anak muda dari Rawang ini menjelaskan bahawa perasaan ragu-ragu itu tetap ada kerana sukar untuk memastikan ketelusan seseorang ahli politik.

Beliau yang memilih untuk mengundi berdasarkan personaliti calon tanpa mengira parti yang diwakili calon itu, berharap wakil rakyat yang menang akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan mendengar suara rakyat.

"Jangan tunggu lima tahun akan datang baru nampak batang hidung. Dan diharapkan mereka akan hadir sidang perbahasan Parlimen dan yang paling penting tak makan rasuah!" tegas usahawan muda itu yang memiliki kedai buku Hijau BookValley di Bukit Sentosa 2.

Selain menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil, beliau berharap semua golongan masyarakat yang layak mengundi untuk pergi mengundi kali ini.

UNDI DENGAN AKAL

Harapan yang sama disuarakan guru sekolah swasta, Siti Zafirah Harun, 24 tahun.

"Saya juga mahu agar lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya Melayu untuk pergi mengundi.

"Mengundi dengan akal, bukan emosi, undilah dengan hati yang lapang dan fikiran yang jernih," nasihat beliau.

Berasal dari Raub, Pahang, gadis ini berpendapat tanggungjawab mengundi adalah amanah yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan negara yang mengamalkan demokrasi.

Yakin dengan keupayaan satu undi untuk mengubah nasib negara, beliau juga menjangkakan keputusan pilihan raya kali ini akan banyak dipengaruhi oleh undi daripada golongan belia sepertinya.

"Kenapa tidak? Kadang-kadang peratus perbezaan undi tidak banyak, tetapi apa yang dibawa oleh pemimpin itu mungkin sangat banyak perbezaannya, dan yang membeza peratusan undi itu mungkin saya atau sesiapa sahaja," jelas beliau yang kini menetap di Shah Alam.

TIDAK MAHU JADI PEMERHATI LAGI

Jelik dengan senario politik negara yang beliau sifatkan sebagai tidak matang, pengurus projek sebuah syarikat swasta, Elia Suhaily Md Yacob, 39, memilih untuk tidak mengundi pada pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya, parti dan pengamal politik masih lagi menggunakan strategi kotor dalam meraih sokongan seperti menjatuhkan pihak lawan untuk menaikkan nama sendiri.

Beliau juga berpendapat rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan parti atau calon yang baik, yang layak untuk diundi.

Bagaimanapun, bagi pilihan raya umum kali ini, ibu kepada dua orang anak ini mengambil keputusan untuk tidak lagi menjadi pemerhati sahaja.

"Saya memilih untuk mengundi kali ini kerana saya rasa orang yang di atas pagar seperti saya, yang banyak memerhati, tidak obses dengan mana-mana parti, yang akan menentukan pihak yang bakal menang," katanya yang akan mengundi di Muar.

Beliau berharap pihak yang menang dan membentuk kerajaan, akan berusaha ke arah membina sistem pendidikan yang lebih baik dan nikmat daripada pembangunan ekonomi negara dapat dirasai oleh semua golongan.

USAHA SPR MUDAHKAN PROSES MENGUNDI

Sementara itu, bagi PRU kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pelbagai langkah untuk kemudahan para pengundi.

Antaranya pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk mengenalpasti pusat mengundi dan saluran mengundi mereka mulai 16 April ini.

Dengan adanya aplikasi ini pengundi tidak perlu lagi beratur di barong seperti PRU sebelum ini sekaligus menjimatkan masa selain memberi keselesaan.

Semakan juga boleh dibuat menerusi laman web SPR www.spr.gov.my atau dengan menelefon 03-88927018 atau menerusi SMS ke 15888.

"Jangan takut pergi mengundi kerana proses pengundian adalah selamat dan rahsia.

"Tiada mana-mana pihak yang boleh menghalang anda daripada pergi mengundi," kata Pengarah Akademi Pilhanraya (APR), Hasanul Isyraf Naim.

Para pengundi juga diingatkan supaya tidak lupa membawa kad pengenalan dan sekiranya menghadapi masalah, khususnya bagi golongan OKU, mereka boleh meminta bantuan petugas pilihan raya.

Keputusan PRU akan diumumkan melalui laman Facebook PRU14 kelolaan SPR yang akan dibuat secara langsung dari ibu pejabat badan itu di Putrajaya. -- Bernama