KANGAR: Jabatan Perhutanan Perlis berjaya mengenal pasti 83 gua yang belum diterokai di sepanjang Banjaran Nakawan di negeri itu menerusi kajian inventori selama 21 hari untuk pendokumentasian.
Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata daripada jumlah itu terdapat enam gua cantik dan unik dilihat mempunyai potensi dijadikan produk ekopelancongan baharu, namun memerlukan penilaian dan penelitian lanjut oleh pakar berkaitan kesesuaian dan risiko.
“Ada yang dalam gua itu ada satu kolam mungkin bersesuaian untuk aktiviti diving dalam gua, kita akan buat semakan lanjut tentang kebolehlaksanaan aktiviti itu. Sebab cantik tidak menjamin untuk kita buka tempat pelancongan, kita tengok potensi dan juga risiko.
“Kalau cantik sahaja tetapi cenderung untuk memberikan kesan kepada risiko kemalangan tinggi, jadi tak sesuailah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Nakawan Rainforest Festival bersempena dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri tahun ini di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, di sini semalam.
Majlis penutup itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Ag Shaffie berkata bagaimanapun sebelum membuat pilihan untuk produk pelancongan baharu itu, pihaknya akan menyediakan pelan induk pengurusan gua di sepanjang banjaran itu bagi pengelasan gua berdasarkan nilai fosil, artifak arkeologi, biodiversiti dan potensi pelancongan.
“Mana paling sesuai untuk kita buka, kalau kita nak buka bila (tempoh) paling dekat kita boleh buka? Apa perancangan untuk memudahkan akses laluan masuk dan sebagainya, jadi (ia) satu perancangan yang sangat kompleks,” katanya.
Beliau berkata setakat ini hanya dua gua yang menjadi lokasi ekopelancongan di Perlis, iaitu Gua Kelam dan Gua Wang Burma.
Ag Shaffie berkata kerja lapangan 21 hari bagi melaksanakan kajian inventori itu melibatkan lapan komuniti hutan di Perlis yang memiliki kepakaran masing-masing digabungkan untuk gerak kerja berpasukan dengan dibantu pihak Jabatan Perhutanan negeri berkenaan.
Pada majlis penutup itu, Jabatan Perhutanan Perlis turut menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records atas pencapaian Most Caves Surveyed In A Speleological Expedition susulan penemuan 83 gua berkenaan.
-- BERNAMA