KUALA LUMPUR: Kisah gadis berbangsa Melayu yang dijaga seperti anak sendiri oleh wanita warga emas berbangsa Cina sejak berusia dua bulan, berjaya mendapat perhatian Perdana Menteri.

Rohana Abdullah, 22 tahun menerima panggilan daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin menawarkan bantuan mendapatkan kerakyatan dan mengambil keterangan daripada ibu angkatnya, Chee Hoi Lan.

Ismail Sabri menerusi perkongsian video Instagram yang dimuat naik oleh pegawai medianya berkata, beliau akan menghubungi Pejabat Pendaftaran pada Isnin bagi menyelesaikan isu yang dihadapi Rohana.

PM: “Hari Isnin nantilah, saya akan hubungi Pejabat Pendaftaran, selepas itu kalau ada apa-apa nanti, pegawai saya akan hubungi awak.”

Rohana:Harapnya Datuk Seri bolehlah tolong saya.”

PM: “Insya-Allah, ini yang saya telefon ini. Nak tolonglah ni.”

Rohana: “Minta tolong sangat-sangat.”

PM: “Saya pun baca dalam surat khabar juga, selepas itu saya minta pegawai saya carikan penyelesaiannya.”

Rohana: “Terima kasih sangat-sangat kerana menghubungi saya.”

PM: “Insya-Allah, nanti kalau ada apa-apa perkembangan, pegawai saya akan hubungi ya.”

Rohana: “Okay boleh, terima kasih.”

Kisah Rohana dan Hoi Lan sebelum ini tular di media sosial kerana walaupun berbeza agama, wanita berusia 83 tahun itu sanggup menjaganya seperti anak sendiri sejak berusia dua bulan lagi.

Malah, Hoi Lan juga yang telah menyara segala keperluan Rohana termasuk mengeluarkan wang belanja untuk menghantar Rohana ke Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) selain menyediakan makanan halal sepanjang tinggal bersamanya.

Warga emas itu berharap Rohana mendapat taraf kewarganegaraan dan mempunyai kad pengenalan bagi memudahkan masa depannya kelak.

Ia memberi pelbagai reaksi daripada banyak pihak yang mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dan masalah yang timbul dapat diselesaikan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, setakat ini pihaknya juga menerima maklum balas daripada agensi berkaitan berhubung isu ini.

"Insya-Allah kita doakan ada pengakhiran baik. Terima kasih kepada mereka yang bertanyakan isu ini," katanya.