MALAYSIA

Saya akan tegur kalau nampak budak main dekat saluran kumbahan itu - Penduduk

Sinar Harian 29/09/2025 | 01:20 MYT
Lokasi murid Tahun Tiga yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan dalam kawasan sekolah pada Sabtu. Gambar kecil dari kiri: Mohd Anuar dan Suliati. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: “Setiap kali nampak budak bermain di kawasan saluran kumbahan itu, saya akan tegur kerana kawasan itu sunyi dan berbahaya,” kata seorang suri rumah, Suliati Mohd Nor, 52.

Dia yang tinggal berhampiran sekolah di mana berlakunya kejadian melibatkan murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan itu berkata, kawasan belakang sekolah itu kadangkala menjadi tempat kanak-kanak bermain walaupun bukan laluan utama.

“Rumah saya di belakang sekolah. Kadang-kadang bila nampak budak main di situ, saya akan tegur. Saya kata jangan main situ, nanti cikgu marah.

"Cuma masa hari sukan, memang lokasi itu dijadikan tempat latihan untuk acara yang berlangsung. Tapi kalau waktu sekolah biasa, pintu pagar belakang biasanya berkunci, hanya dibuka waktu pagi dan balik sekolah,” katanya ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian pada Ahad.

Suliati berkata, walaupun pintu pagar belakang sekolah sentiasa berkunci, kawasan berkenaan tetap dipantau oleh pengawal keselamatan dan guru-guru secara berkala.

Bagaimanapun, susulan kejadian itu, dia berharap tahap keselamatan di kawasan sekolah dapat dipertingkatkan, termasuk memagar kawasan lubang kumbahan supaya tidak dijadikan laluan atau tempat permainan murid.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Anuar Nasir, 57, turut menyuarakan kebimbangan dan menggesa pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan lebih awal.

“Budak ini bila kita beritahu bahaya pun, dia tetap nak cuba sebab sifat ingin tahu. Dia cuma tahu nak main.

Justeru, pihak sekolah atau pihak bertanggungjawab kena ambil langkah pencegahan bila melibatkan soal keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa pemantauan berkala terhadap fasiliti dan kawasan sekolah perlu dilaksanakan secara konsisten bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Pihak yang menyelenggara bangunan sekolah perlu lebih peka. Jangan tunggu dah jadi baru bertindak,” ujarnya.

BACA: Murid jatuh lubang pembetungan: KPM akan kemuka laporan siasatan segera

BACA: Ketepikan masalah kesihatan, Muhammad Arsyad nekad selam lubang kumbahan cuba selamat murid

BACA: JPNS diarah segera siasat murid 9 tahun maut jatuh lubang kumbahan di sekolah

BACA: Murid Tahun Tiga maut jatuh dalam saluran kumbahan di sekolah

Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, acara sukan sekolah bertukar kecoh selepas mangsa terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Mangsa berusia sembilan tahun, yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, dikatakan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah itu sekitar jam 9 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi merasmikan majlis tersebut, bergegas ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim memaklumkan bahawa setakat ini seramai lapan saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan dijangka lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan. - Sinar Harian





#murid jatuh lubang pembetungan #Seremban #Penduduk #kumbahan #murid jatuh lubang kumbahan