MALAYSIA
Murid Tahun Tiga maut jatuh dalam saluran kumbahan di sekolah

Saluran kumbahan lokasi mangsa terjatuh. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang murid lelaki sebuah sekolah rendah di Lenggeng di sini maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan dalam kejadian menyayat hati pada pagi Sabtu.
Ringkasan AI
- Murid lelaki berusia 9 tahun maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolahnya di Lenggeng ketika program Hari Sukan.
- Mangsa berada dalam lubang kira-kira 10 minit sebelum dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di hospital; siasatan awal mendapati ia kemalangan tanpa unsur jenayah.
- ADUN Lenggeng tunggu laporan lengkap kerana bangunan sekolah baru dirasmikan tahun lalu dan sepatutnya memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CF).
“Ketika itu ramai murid berada di kawasan belakang sekolah kerana berlangsungnya Hari Sukan. Seorang murid perempuan memaklumkan ada budak terjatuh ke dalam lubang.
“Saya bersama beberapa yang lain terus ke lokasi, tetapi pada mulanya memang tak nampak apa-apa. Bila turun ke bawah, barulah nampak topi dan kasut sekolah terapung,” katanya.
Menurutnya, salah seorang penduduk bertindak menyelam ke dasar bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa segera dibawa naik ke atas. Difahamkan mangsa berada di dalam longkang itu selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya dibawa naik.
“Usaha menyelamat diteruskan hampir 30 minit termasuk bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans. Namun pihak hospital kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Asna berkata, bangunan sekolah tersebut baru sahaja dirasmikan pada tahun lalu dan sepatutnya telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CF) sebelum diserahkan.
“Namun, saya akan tunggu laporan lengkap terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk mendapatkan rawatan. Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
“Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Setakat ini, siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah dikenal pasti,” ujarnya.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Nilai ditalian 06-7902222. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami