Menteri Besar Selangor Azmin Ali menolak dakwaan yang beliau seorang pemimpin 'oportunis' dan 'populis' sepanjang tempoh mentadbir negeri itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, semua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pertimbangan akan kesannya kepada rakyat.

Mempertahankan tindakan membatalkan perjanjian projek pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) antara kerajaan negeri dan persekutuan, Azmin berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada semua pihak.

"Saya mendengar maklum balas daripada rakyat khususnya di kawasan Petaling Jaya dan saya juga ambil pendekatan 'engagement' seperti yang dititah Tuanku. Saya telah bersemuka dan berbincang dengan ahli Parlimen dan DUN kawasan berkaitan pembinaan KIDEX."

"Saya juga telah berbincang panjang dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan memberi syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh mana-mana pemaju.

"Ini bidang kuasa kerajaan negeri di bawah Seksyen 18, jadi di mana kesalahan saya?" kata Azmin apabila ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam.

Tambahnya, dianggarkan penduduk Selangor akan mencecah sembilan juta orang menjelang tahun 2035, justeru menjadi fokus kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam untuk kebaikan rakyat.

"Kami mencadangkan kepada JKR dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengkaji semula nisbah pengangkutan awam dan pengangkutan peribadi untuk tahun 2035. Kami mahukan 60 peratus pengangkutan awam dan 40 peratus pengangkutan persendirian di Selangor."

"Apakah ini satu sikap oportunis? Ini untuk kepentingan rakyat," tegas Azmin.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang mengkritik Azmin kerana membuat beberapa keputusan yang didakwa akan menjejaskan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Selain KIDEX, isu lain termasuk penstrukturan semula air Selangor yang tertangguh dan tindakan menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).