Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin hari ini melahirkan rasa gembira apabila kini dibenarkan memasuki Sarawak.

Selepas dilantik mengemudi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida yang dihalang masuk ke Bumi Kenyalang itu pada September tahun lepas kini mempunyai akses penuh ke negeri itu sebagai seorang menteri.

“Sarawak telah menghapuskan larangan, saya sudah boleh pergi ke Sarawak, saya seorang menteri sekarang.

“Saya sangat aktif di Sarawak dahulu, jadi saya ingat dalam masa dua minggu lagi saya akan turun ke sana kerana mereka menunggu kedatangan saya untuk melihat hal-hal yang tertunggak,” katanya selepas melawat Rumah Transit Bukit Jalil di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau pada masa sama akan membuat lawatan kerja untuk mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan dengan kementerian di negeri itu.

“Mereka akan melihat saya dalam kapasiti yang berbeza,” katanya lagi.

Pada 23 September 2017, Zuraida dihalang memasuki Sarawak ketika tiba di Lapangan Terbang Miri sehari sebelum kunjungan pertama Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika itu ke negeri itu.

Zuraida menjadi Ahli Parlimen dari PKR yang pertama dihalang memasuki negeri itu, disusuli Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sean.