Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata beliau enggan mencampuri urusan tentang cadangan siapa yang sesuai mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Beliau mengulas tentang gesaan bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim yang meminta mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong Ahli Parlimen BN-Gua Musang itu untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Bagaimanapun katanya beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir meskipun kedua-duanya dikatakan pernah ‘bermusuh’ suatu ketika dahulu.

"Bekerjasama dengan Tun Mahathir dan siapa-siapa pun tidak ada masalah.

"Tetapi untuk soal Perdana Menteri… itu soal lain… tidak boleh campur," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tengku Razaleigh juga menafikan bahawa beliau masih bermusuh dengan Dr Mahathir, malah mengakui mereka ’tidak berkelahi'.

"Saya tidak berkelahi dengan Tun Mahathir… kalau cakap sedikit-sedikit macam ini tidak faham latar belakang susah juga.

"Saya berkawan dengan Tun Mahathir sudah berpuluh tahun. Saya bukan duduk Parlimen hari ini sahaja… sudah 10 penggal," tegasnya.

Berkenaan cadangan mengambil alih jawatan Perdana Menteri, katanya menurut tanggapan umum, untuk menukar jawatan tersebut, perlu lah mengikut hirarki.

Bagaimanapun beliau juga menegaskan bahawa itu bukanlah tanggapan dirinya.

"Dia boleh cadang itu pandangan dia. Dia ada hiraki dia, saya orang luar. Mesti diorang timbang begitu,” jelas beliau.

Dalam laporan The Malaysian Insider, Zaid dalam artikel terbaru menerusi blognya telah menyeru Dr Mahathir menyokong Tengku Razaleigh atau Ku Li untuk jawatan Perdana Menteri.

Katanya kedua-duanya ahli politik veteran itu perlu berdamai untuk tujuan lebih besar.