KUALA LUMPUR: Penolong pegawai di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, mendakwa dirinya dipergunakan dan dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak tertentu sehingga terpalit dengan isu video tular melibatkan Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.

Abdul Wahab berkata, penyebaran video fitnah tersebut menjejaskan maruah, imej dan reputasi dirinya serta Mohammad Agus.

Abdul Wahab menjelaskan, dia telah diarah oleh individu berpengaruh, Mr H untuk membuat satu rakaman perbualan video bersama Mohammad Agus bagi mendapatkan bukti beliau terlibat dalam aktiviti songsang dan tidak bermoral.

“Saya kini sedar saya telah dipergunakan dan tidak lebih sekadar kambing hitam oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan Mohammad Agus.

“Sebelum ini, saya menyangka saya merupakan sebahagian daripada pihak yang benar, yang kononnya benar-benar ingin membersihkan J-KOM daripada unsur negatif tetapi rupanya saya telah digunakan di dalam komplot keji untuk memfitnah Mohammad Agus,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Mohammad Agus dan Abdul Wahab mengadakan sidang media pada Jumaat bagi menjelaskan isu rakaman panggilan video berunsur lucah didakwa mengaitkan mereka berdua yang tular di media sosial sejak Khamis.

Dalam pada itu, Abdul Wahab menegaskan bahawa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka dan tidak benar.

“Saya terkejut apabila mendapati rakaman video tersebut telah disebarkan oleh Che’gu Bard di laman Facebook beliau.

“Lebih mengejutkan lagi, rakaman video tersebut telah disunting dan diedit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan teknik ‘voice over’ bagi menunjukkan seolah-olah saya dan Mohammad Agus terlibat di dalam aktiviti yang jelek dan tidak bermoral,” tegasnya.

Mohammad Agus pada Khamis mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan tersebut.

Mohammad Agus dilantik ke jawatan berkenaan pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat. - Sinar Harian