NATIONAL
‘Saya ditahan ketika pergi dan balik di KKIA’ - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri mengesahkan gambar tular memaparkan seorang lelaki duduk di atas kerusi di sebuah lapangan terbang adalah dirinya. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan gambar tular memaparkan seorang lelaki duduk di atas kerusi di sebuah lapangan terbang adalah dirinya.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan gambar tular di lapangan terbang adalah dirinya, dan beliau ditahan sementara oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 dan 7 April.
- Ahmad Samsuri mendedahkan beliau dilabel sebagai individu di bawah status pengawasan pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu, namun Ketua Polis Negara menegaskan tiada keperluan untuk meletakkannya dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan penjenayah.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan bahawa Ahmad Samsuri diletakkan di bawah status individu berisiko tanpa sebarang kesalahan sahih.
“Tulisan saya yang mengandungi 18 perenggan pada Khamis (10 April) itu saya tulis selepas insiden ‘pull aside on hold’ berlaku, iaitu ditahan sementara sebelum berlepas bagi mendapatkan pelepasan daripada polis cawangan khas.
“Pergi dan balik, kedua-duanya berlaku ‘pull aside on hold’. Gambar (yang saya yakin diambil oleh orang awam) adalah ketika balik pada Isnin (7 April lalu),” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp pada Ahad.
Pada Sabtu, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan Ahmad Samsuri duduk di sebuah kerusi di kawasan lapangan terbang dipercayai di KKIA, Sabah.
Berdasarkan keterangan gambar tersebut, Ahmad Samsuri didakwa ditahan beberapa pegawai sebaik tiba di pintu masuk balai pelepasan sebelum dibawa ke tepi untuk pemeriksaan lanjut.
Khamis lalu, Ahmad Samsuri mendedahkan beliau dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status pengawasan pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tiada keperluan meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.
Razarudin turut menafikan dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu berisiko walaupun tanpa sebarang kesalahan sahih. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami