'Saya reda cuma harap orang ramai tidak buat andaian' - Isteri lelaki lemas jatuh jambatan Pulau Pinang

Nurul Natasha berharap orang ramai tidak membuat sebarang andaian terhadap apa yang berlaku kepada suaminya yang ditemui lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: "Saya reda, cuma saya tak mahu orang buat andaian dengan apa yang berlaku kerana orang tak berada di tempat kami."
Ringkasan AI
- Nurul Natasha Amyra Ishak, isteri lelaki yang ditemui lemas selepas jatuh dari Jambatan Pulau Pinang, reda dengan kejadian tetapi tidak mahu orang membuat andaian. Suaminya sebelum ini mengalami gangguan misteri dan kelihatan terganggu.
- Suami Nurul Natasha pernah mengadu dikejar banyak orang dan mengalami sakit kepala sehingga perlu berhenti di R&R Sungai Perak sebelum diracau. Mereka memilih untuk tidak meneruskan rawatan di Hospital Taiping kerana memiliki anak kecil.
- Mayat suami Nurul Natasha, Elmi Nu Zamani Aizat Abdul Azim, 25, ditemui terapung berhampiran jeti pelayaran di Pengkalan Weld selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama dua hari. Penemuan mayat berlaku kira-kira 8 kilometer dari tempat jatuhnya.
Malah katanya, ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur beberapa minggu lalu, arwah suaminya memaklumkan mengalami sakit kepala sehingga terpaksa berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak sebelum dia meracau.
"Lama juga kami berhenti di R&R sehingga ambulans terpaksa ambil dia dan bawa ke Hospital Taiping.
"Doktor hendak beri dia ubat penenang dan cakap nak tahan dia di hospital, tapi saya cakap tak nak kerana kami ada anak kecil, biar kami sambung rawatan di Hospital Seberang Jaya sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang di sini, semalam.
Berikutan keadaan suaminya yang membimbangkan, Nurul Natasha berkata, mereka mengambil keputusan untuk berpindah dari rumah sewa di Padang Serai, Kedah ke rumah ibunya di Bertam, pada minggu lalu.
Mengakui hubungannya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah, Nurul Nastaha berkata, mereka sebelum ini pernah beberapa kali berubat secara rawatan Islam sebelum ini.
Mengimbau kembali apa yang berlaku pada Ahad lalu, Nurul Natasha memaklumkan dia terkejut apabila diberitahu mengenai apa yang berlaku pada suaminya yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.
Jelasnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh pihak polis kira-kira jam 8 malam melalui panggilan telefon.
“Saya memang tak percaya pada awalnya. Dia keluar pun sebab katanya nak ke kedai dobi. Saya tak syak apa-apa sebab memang selalu dia cuci pakaian sendiri.
“Malah sebelum keluar, dia beritahu saya dia mahu solat taubat. Kalau saya tahu akan jadi macam ini, saya tak bagi dia keluar. Kami pun tak pernah cerita hal rumah tangga dengan sesiapa," katanya lagi.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Ahad lalu akhirnya ditemui lemas selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama hampir dua hari dijalankan oleh pelbagai agensi keselamatan.
Mayat lelaki berusia 25 itu ditemukan terapung berhampiran jeti pelayaran di Pengkalan Weld, di sini pada jam 9.35 pagi Isnin dengan jarak anggaran kira-kira 8 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.56 petang daripada orang awam selepas melihat lelaki itu terjatuh di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang (arah pulau ke tanah besar). - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


