MALAYSIA
“Saya sukar terima rakyat Malaysia tidak fasih Bahasa Melayu” - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan pandangan beliau mengenai kedudukan bahasa kebangsaan di Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group, di Kuala Lumpur pada Selasa. - Gambar Astro AWANI/Ikqwan Lee
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, beliau turut menekankan kepentingan bahasa Inggeris dalam aspek kemajuan negara di pentas antarabangsa.
“Kita mesti tonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya tidak terima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu.
“Tetapi pada masa sama, tahap penguasaan bahasa Inggeris terlalu kritikal, sangat penting untuk negara ini,” ujar Anwar.Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu melipatgandakan usaha untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya di peringkat universiti, tanpa menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan.
Anwar berkata demikian dalam ucapan di Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group, di sini pada Selasa.
Anwar juga berpandangan bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan Perancis tidak seharusnya dipinggirkan, sebaliknya digalakkan penggunaannya sebagai langkah meraikan kekayaan budaya dan keilmuan negara.
“Kalau kita benar percaya bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, maka tidak ada alasan untuk meminggirkan usaha meningkatkan penguasaan bahasa lain. Itu sepatutnya jadi sikap kita,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Anwar turut memberi peringatan agar rakyat menolak politik perkauman sempit yang sering dimainkan kelompok kecil dengan kepentingan tertentu.
“Kita tidak boleh benarkan minoriti yang terdesak menggunakan isu perkauman atau sentimen agama untuk menentukan hala tuju negara.
“Malaysia hanya akan berjaya jika setiap warganya iaitu Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan lain-lain merasakan mereka dilindungi dan dihargai,” katanya.
Jelas Anwar, kejayaan Malaysia hanya boleh dicapai dengan dasar keterangkuman yang melibatkan semua kaum dalam pembangunan negara, bukan hanya kaum majoriti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami