KUALA LUMPUR: "Saya tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan 43 barang kemas itu kerana ia sudah diambil oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia)," kata Datin Seri Rosmah Mansor menerusi pernyataan tuntutan pembelaan yang difailkan Tetuan Eza Rahim dan Rajivan di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Selasa.

Isteri bekas Perdana Menteri ini berkata demikian bagi menjawab saman kali kedua yang difailkan Global Royalty Trading SAL terhadapnya pada 29 Mac lalu, berhubung tuntutan bagi mendapatkan semula 43 barang kemas.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, jelas bahawa barangan kemas tersebut telah diambil oleh PDRM atau Kerajaan Malaysia melalui suatu operasi serbuan.

Beliau selaku defendan berkata, jika ia hilang maka pihak polis dan Kerajaan yang perlu menanggung kerugian syarikat barang kemas dari Lubnan itu selaku plaintif.

"Saya menegaskan bahawa kenyataan bahawa barang-barang kemas tersebut telah diambil oleh pihak polis dan Kerajaan Malaysia adalah bermerit kerana satu daripada barangan kemas telah dijumpai dalam milikan mereka.

"Saya juga menegaskan bahawa semua barangan kemas terbabit disimpan di tempat yang sama dan kemudian disita dan diambil oleh mereka.

"Umum tahu bahawa semua harta bernilai milik saya dan keluarga telah dirampas jadi, ia tidak mungkin saya boleh menyimpan barang kemas bernilai jutaan ringgit tersebut, malah ketika waktu berkenaan, saya tidak dibenarkan untuk keluar negara," katanya.

Selain itu, isteri bekas Perdana Menteri berusia 72 tahun ini menafikan telah meminta barangan kemas seperti yang didakwa Global Royalty.

Beliau menegaskan, barang kemas berkenaan diserahkan kepadanya adalah bagi manfaat dan keuntungan syarikat terbabit bagi menarik publisiti dan kredibiliti dalam kalangan pembeli.

Katanya, ketika itu beliau merupakan isteri seorang Perdana Menteri, maka plaintif inginkan publisiti berhubung produk dan ingin dirinya menjadi pelanggan mereka.

Oleh demikian, Rosmah berkata, barang kemas diserahkan kepadanya untuk dilihat atas kehendak dan kerelaan plaintif, tanpa ada kewajipan baginya untuk membeli.

“Terdapat klausa yang wujud dalam memorandum bertarikh 22 Mei 2018 (yang dirujuk plaintif sebagai Nota Konsainan) dengan jelas menyatakan ia dihantar untuk dilihat dan diperiksa oleh saya.

"Sekiranya berminat, maka satu perjanjian penjualan secara berasingan akan dikeluarkan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa, semua langkah yang munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan barangan tersebut telah diambil dan akan membutirkan ciri-ciri keselamatan itu semasa perbicaraan kelak.

Maka katanya, defendan tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kehilangan barangan kemas dan memohon kepada mahkamah supaya menolak tuntutan plaintif dengan kos atas dasar tanggung rugi penuh.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty Trading SAL menyaman Rosmah selaku defendan dan menuntutnya memulangkan 44 barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Syarikat ini mendakwa Rosmah berbohong bahawa barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis.

Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia.

Plaintif kemudiannya menarik balik tuntutan saman untuk memfailkan semula dan mencelah dalam prosiding pelucuthakan Kerajaan Malaysia terhadap OBYU Holdings Sdn Bhd, pemilik harta yang di mana 12,000 barang kemas tersebut telah disita oleh PDRM atas kesalahan di bawah AMLA.

Pada 11 Mac 2020, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussein membenarkan permohonan plaintif untuk memeriksa barang-barang kemas tersebut, yang telah disita oleh PDRM.

Global Royalty kemudiannya memfailkan saman baharu, untuk mendapatkan semula 43 barang kemas daripada isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Berdasarkan writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac lalu, syarikat barang kemas itu mengambil langkah berkenaan melalui firma guaman, Tetuan David Gurupatham dan Koay dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal. - Sinar Harian