KUALA LUMPUR: Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak cuba menyelamatkan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Tan Sri Ismee Ismail tetapi menghentikan soalan tidak relevan yang diajukan kepada saksi ke-13 pendakwaan itu.

Ketua pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak itu memberitahu Hakim Datuk Collin Sequerah selepas ketua pasukan pembelaan bekas perdana menteri Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkeras mengatakan pendakwaan cuba untuk "menyelamatkan" Ismee.

Pertikaman lidah itu bermula apabila Muhammad Shafee menyoal Ismee, 58, mengenai dakwaan perjanjian palsu berkaitan penukaran wang dana kekayaan negara kepada nota Murabahah.

Menurut satu usaha sama antara 1MDB-PetroSaudi International Limited, kedua-dua syarikat bersetuju untuk menukarkan 40 peratus daripada kepentingan 1MDB dalam usaha sama itu, iaitu AS$1 bilion kepada pinjaman Islam kepada syarikat usaha sama itu.

Persetujuan itu menyaksikan 1MDB bersetuju menjual 40 peratus sahamnya dalam syarikat usaha sama berkenaan dengan memberikan pinjaman Islam menerusi nota Murabahah kepada syarikat kerjasama itu pada nilai AS$1.2 bilion.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu akan berhutang AS$1.2 bilion kepada 1MDB di atas kertas, dan memberikan 1MDB keuntungan atas kertas AS$200 juta selepas mengambil kira permulaan AS$1 bilion.

Semasa prosiding, Sri Ram membantah soalan yang diajukan peguam senior itu mengenai dakwaan perjanjian palsu Murabahah.

Pada ketika itu, Sequerah mencelah dan berkata adalah tidak adil untuk cuba mendapatkan saksi menjawab sedangkan isu itu berasaskan dokumentasi.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berhujah Ismee mampu menjawab soalan beliau dan tidak perlu "diselamatkan" oleh sesiapa.

"Tiada sesiapa perlu selamatkan saksi ini kerana beliau melakukannya dengan baik," kata Muhammad Shafee.

Sri Ram kemudian menjawab:" Saya tidak menyelamatkan saksi ini, saya menghentikan soalan yang tidak relevan."

Muhammad Shafee kemudian bertanya: Adakah soalan ini tidak relevan?

Hakim kemudian berkata soalan ditanya merupakan perkara untuk peringkat hujahan dan Muhammad Shafee bertanya kepada Ismee untuk membuat kesimpulan sedangkan saksi mungkin tahu atau tidak tahu mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, peguam itu bertegas bahawa seseorang saksi itu boleh menjawab berasaskan fakta yang diberi. Hakim kemudian berkata biarkan dia menjawab.

Semasa prosiding hari ini, saksi itu juga memberi keterangan bahawa usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited selain daripada 1MDB memperoleh penjana-penjana kuasa bebas Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd, adalah sejajar dengan kepentingan Kerajaan Malaysia.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung pada 4 April.

-- BERNAMA