SHAH ALAM: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, tiada niat untuk melengah-lengahkan prosiding dua kes menyebut perkataan menghasut yang dipertuduhkan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Selayang.

Sebaliknya, Menteri Besar Kedah itu berkata, tuduhan itu merupakan suatu andaian semata-mata.

Sanusi, 50, berkata, sudah menjadi haknya untuk memindahkan kes malah ia dilakukan mengikut prosedur undang-undang.

“Saya menunjukkan contoh yang baik dari segi moral,” katanya selepas pengurusan permohonan Sanusi untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.

Semasa prosiding, peguam, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Sanusi selaku permohon berkata, pihak pembelaan telah menerima afidavit jawapan daripada pihak pendakwaan menerusi e-mel, pada Selasa.

“Justeru itu, kami harap mahkamah memberi masa 14 hari untuk kami membalas afidavit tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob membantah perkara itu dengan menyatakan, mahkamah telah memberi masa yang lebih daripada mencukupi bagi pihak pembelaan berbuat demikian.

“Kami mohon notis itu didengar 31 Januari memandangkan tarikh perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Selayang, ditetapkan pada 5 Februari akan datang.

“Tarikh perbicaraan telah diputuskan maka tiada sebab untuk melengah-lengahkan lagi prosiding ini,” katanya.

Hasshahari: Dakwaan kami mahu melengah-lengankan prosiding adalah tuduhan yang amat serius.

Hakim: Afidavit jawapan itu, ringkas sahaja tidak perlu ambil masa yang lama.

Hasshahari: Yang Arif, sudah menjadi amalan di mahkamah untuk memberikan masa 14 hari untuk membalas afidavit tersebut, selain kami memerlukan masa untuk menyediakan dokumen tersebut.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin kemudiannya menetapkan 1 Februari depan untuk pendengaran permohonan Sanusi itu dan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas, pada atau sebelum 29 Januari.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian