Menyedari harapan tinggi untuk mara ke Piala Asia 2023 diletakkan ke atas skuad bimbingannya, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe enggan dilabel sebagai seorang jurulatih yang sering memberi alasan apabila tewas.

Malaysia berpeluang kembali ke landasan tepat dalam usaha mencapai sasaran tersebut ketika melayani Thailand dan Indonesia dalam dua aksi getir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan ini.

Kemenangan ke atas kedua-dua pasukan jiran itu bukan sahaja menghidupkan kembali peluang Harimau Malaya, malah mengubati kekecewaan penyokong rentetan dua kekalahan dialami skuad kebangsaan dalam tiga aksi pertama sebelum ini.

Malaysia tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi dan dua keputusan itu menyaksikan peminat bola sepak tempatan mula mempersoalkan keberkesanan jentera serangan negara.

Cheng Hoe menegaskan pemain dalam skuad kebangsaan ketika ini adalah kelompok pemain terbaik.

"Secara keseluruhan kita bermain begitu baik cuma tak dapat kemenangan. Pemain utama ketika ini masih lagi penting dan relevan untuk pasukan. Tetapi kita tetap memantau dan akan membuat perubahan sekiranya perlu.

"Sebagai jurulatih, saya masih lagi positif kerana kita kena cari pilihan terbaik untuk pasukan. Saya tidak mahu bagi alasan itu ini, tetapi sebagai jurulatih tugas saya mencari ramuan terbaik untuk dapatkan keputusan terbaik," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, pada Khamis.

Pada masa sama, Cheng Hoe menyifatkan hanya keyakinan dalam diri pemain selain sokongan peminat, mampu menjadi faktor menyuntik moral pasukan.

Malaysia akan berdepan Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum melayani kunjungan Thailand (14 Nov) dan Indonesia pada 19 Nov dalam aksi kelayakan di venue sama.

Selepas tiga aksi pusingan kedua kempen kelayakan itu, Thailand berada di kedudukan teratas Kumpulan G walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam, manakala Malaysia berada di tempat keempat dengan tiga mata.

-- BERNAMA