Siti Azzahra Abd Razly atau dikenali sebagai #SayaZAHRA sepatutnya menggunakan masa berucap di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyampaikan aspirasi dan idealisme anak muda untuk bersama membangun ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Haryaty Hamdzah berkata, keberanian menyampaikan mesej mengenai kesusahan golongan muda bukan segala-galanya.

"Saya fikir ini pengalaman terbaik yang telah Zahra lalui dalam hidupnya. Pada saya, Zahra bukan seorang, ramai lagi 'Zahra' yang berfikiran sepertinya.

"Pandangan dan harapannya sebagai anak muda tidak harus dipersalahkan. Setiap individu yang memasuki menara gading dan belajar dengan cemerlang dan berjaya menamatkan pelajaran mereka pasti mengimpikan kehidupan yang sempurna selepas tamat pembelajaran mereka.

"Apabila menemui kehidupan yang sebenar bekerjaya, perlu berdikari, perlu bersusah payah ia sedikit merumitkan. Bagi yang tidak biasa dengan keadaan itu mungkin agak mengecewakan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: ''Belajar tinggi-tinggi, akhirnya mengemis juga'' - #SayaZAHRA

Zahra yang merupakan seorang graduan ijazah undang-undang dalam satu ucapan di hadapan Muhyiddin meluah nasib mengenai nasib golongan mula kini.

Luahan itu mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat Malaysia kerana berucap tentang erti sebenar 'survival' bagi pihak golongan muda di negara ini.

Menurut Zahra, walaupun berpelajaran tinggi, tetapi kehidupan kebanyakan golongan muda di Malaysia masih lagi seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sambil mempersoal apakah nasib graduan jika ini berlarutan?

Dalam pada itu kata Haryaty, wanita muda seperti Zahra adalah contoh paparan mentaliti mahasiswi di negara ini.

"Keberanian menyampaikan mesej sebegitu bukan segala-galanya. Dia kini berhadapan dengan mereka yang menyokong, malah tidak kurang juga yang mengecam ucapannya.

"Peluang berucap di hadapan Muhyiddin merupakan peluang keemasan sebenarnya, namun apabila sepanjang menyampaikan ucapan dengan meluahkan masalah dan kepayahan yang dihadapi selepas dua tahun meninggalkan universiti. Ia sungguh merugikan," jelasnya.

Ujarnya, guna tenaga dan buah fikiran orang muda amat penting dalam meletakkan negara sebagai sebuah negara maju satu hari nanti.

"Tambahan pula suara Zahra itu juga boleh mewakili 65 peratus mahasiswi yang bakal memasuki alam pekerjaan nanti.

"Bagaimanapun syabas Zahra, belajar dari pengalaman itu dan saya doakan dia dapat memperbaiki kehidupan dengan lebih baik lagi di masa hadapan. Merungut tidak menyelesaikan apa-apa," katanya.