GEORGE TOWN: Keputusan sama ada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan diberi peranan mengawal selia pengurusan dana dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) terletak pada kerajaan, kata Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Beliau berkata perkara itu merupakan antara cadangan yang dikemukakan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH dan kini sedang diteliti oleh pasukan petugas melibatkan SC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH.
“Kalau kerajaan merasakan ia berpatutan, kita akan laksanakan. Buat masa ini, ada satu pasukan petugas bersama BNM dan TH untuk membincangkan cadangan daripada RCI itu dan mana-mana yang berpatutan, kita akan laksanakan.
“Bagaimanapun, keputusan terletak pada kerajaan. Kita hanya mengikut arahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program jelajah SC Penang Semicon Roadshow ‘Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough’, di sini, hari ini.
Mohammad Faiz berkata cadangan supaya SC memainkan peranan mengawal selia pelaburan TH juga wajar dipertimbangkan mengambil kira saiz pelaburan institusi berkenaan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata SC dicadangkan untuk mengawal selia aspek pengurusan dana dan pelaburan TH sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerangka pengawasan institusi itu susulan syor RCI berkaitan TH.
-- BERNAMA