CYBERJAYA: Sindiket penipuan dalam talian atau scammer mampu melesapkan antara 80 hingga 90 peratus wang simpanan mangsa dalam tempoh hanya tiga hingga 10 minit, menerusi rangkaian akaun keldai yang berlapis-lapis.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata taktik sindiket yang memecahkan transaksi kepada jumlah kecil seperti RM1,000 hingga RM3,000 menyebabkan pengeluaran berkenaan tidak mencetuskan amaran awal sistem perbankan.
Advertisement
"Dalam tempoh tiga hingga 10 minit sahaja, sebahagian besar wang sudah dipindahkan ke beberapa lapisan akaun berbeza. Apabila wujud layer (lapisan) yang banyak, proses siasatan menjadi lebih rumit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Saifuddin Nasution berkata dalam tempoh satu hingga dua jam pertama selepas mangsa menyedari berlaku penipuan, merupakan tempoh paling kritikal untuk tindakan sekatan dilakukan.
"Lagi cepat mangsa melaporkan adalah lebih baik. Satu jam, dua jam pertama paling kritikal sebab aduan (kepada) 997 (talian NSRC) 997 membolehkan kita segera lakukan sekatan," katanya.
Beliau berkata proses di NSRC merangkumi tiga langkah utama iaitu sekat, siasat dan pulangkan, dan panggilan segera membolehkan tindakan pembekuan akaun dilakukan sebelum dana dipindahkan ke lapisan akaun.
Saifuddin Nasution berkata sebanyak 35,322 panggilan aduan diterima setakat Januari tahun ini, dan sejumlah RM1.44 juta berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal.
"(Peningkatan) jumlah panggilan ini menjadi satu kayu ukur tentang keyakinan orang awam terutama mangsa untuk mengadu (kepada NSRC) apabila kes ini (scam) berlaku kepada mereka. Itulah yang penting (iaitu) menyemai keyakinan (dalam kalangan) orang awam adalah urusan yang sangat penting," katanya.
Beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu, NSRC di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri dan diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi teras lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Saifuddin Nasution berkata sepanjang 2025, NSRC telah merekodkan pencapaian signifikan dalam usaha melindungi kepentingan mangsa penipuan kewangan dalam talian dengan mengendalikan sebanyak 146,167 panggilan aduan sepanjang tahun lepas serta melaksanakan tindakan pembekuan terhadap 138,915 akaun terlibat.
Beliau berkata hasil tindakan pantas itu berjaya menyelamatkan sejumlah RM34.05 juta daripada jatuh ke tangan sindiket.
"Selain itu, NSRC turut mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses sekatan, iaitu daripada RM508,479.39 pada 2024 kepada RM6,649,171.03 pada 2025," katanya.
-- BERNAMA